AntarabangsaIsu SemasaPolitik

3 Perkara Penting Pelantikan Putera Mahkota Arab Saudi

Anak Raja Arab Saudi, Mohammed bin Salman telah dilantik sebagai Putera Mahkota baharu pada hari Rabu menggantikan tempat sepupu lelakinya, Mohammed bin Nayef yang telah dipecat oleh Raja Salman.

Pelantikan ini menjadikan Putera Mohammed yang berusia 31 tahun di barisan pertama untuk mewarisi takhta.

Berikut adalah 3 isu utama yang perlu dilihat susulan pelantikan beliau.

 

EKONOMI ARAB SAUDI

Gambar sekadar hiasan – Sumber: www.shutterstock.com

Sejak beliau memegang jawatan Timbalan Putera Mahkota lagi, Putera Mohammed merancang untuk melakukan pembaharuan terhadap ekonomi Arab Saudi menjelang tahun 2030 dengan mengurangkan kebergantungan negara itu terhadap minyak dan membangunkan sektor swasta.

Arab Saudi adalah pengeksport minyak yang terbesar di dunia, namun menghadapi krisis apabila harga minyak jatuh dengan drastik pada tahun 2014.

Di bawah “Visi 2030” beliau, Arab Saudi akan menjual hampir 5% daripada Aramco – syarikat minyak terbesar di dunia (milik Arab Saudi) yang dilaporkan bernilai di antara AS$ 2 trilion dan AS$ 2.5 trilion.

Ini adalah langkah pertama ke arah penswastaan Aramco dan ia bertujuan untuk mewujudkan dana kekayaan berdaulat bernilai AS$2 trilion sekali gus menjadikannya dana pelaburan milik negara yang terbesar di dunia.

Rancangan ini turut menyasarkan peningkatan eksport bukan minyak dan meningkatkan sumbangan sektor swasta kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada 40% kepada 65%.

Dalam pada itu, visi ini akan membawa perubahan sosial secara tentatif dengan mengembangkan industri tempatan dan mengurangkan kadar pengangguran.

Wanita Arab Saudi, golongan yang dikenakan antara sekatan paling ketat di dunia, dijangka akan mengisi 30% tenaga kerja pada tahun 2030, iaitu peningkatan 22% daripada sekarang.

 

KRISIS QATAR

Pejabat Qatar Airways ditutup kerana krisis diplomatik – Sumber: www.independent.co.uk

Putera Mohammed merupakan salah seorang penggerak utama di sebalik keputusan Arab Saudi untuk memutuskan hubungan dengan Qatar,

Beliau mendakwa bahawa Qatar menjalinkan hubungan dengan Syiah Iran dan bersekongkol dengan kumpulan-kumpulan ekstremis.

Sebagai Putera Mahkota dan Timbalan Perdana Menteri, Putera Mohammed akan menyelia kesan pemulauan itu.

Arab Saudi juga telah menutup satu-satunya sempadan tanah Qatar kepada dan tiga negara Teluk mengharamkan semua penerbangan ke Doha dan daripada Doha.

Qatar telah meminta supaya sekatan ekonomi terhadap negaranya dibuang sebelum bersetuju untuk mengadakan dialog dengan negara-negara jiran, tetapi Arab Saudi masih belum memberi sebarang maklum balas.

 

PEPERANGAN YAMAN

Keadaan di Yaman akibat peperangan – Sumber: www.globalresearch.ca

Selain daripada dilantik menjadi Putera Mahkota dan Timbalan Perdana Menteri, Putera Mohammed juga mengekalkan kedudukannya sebagai Menteri Pertahanan.

Beliau mula memegang jawatan itu sejak Arab Saudi menyertai peperangan di Yaman pada tahun 2015.

Peperangan itu tercetus selepas Huthi, kumpulan pemberontak Syiah yang mempunyai hubungan dengan Iran, ingin mengawal negara miskin itu.

Bulan lepas, Putera Mohammed telah dikritik di atas peranan pasukan tentera yang diketuai oleh Arab Saudi dalam krisis kemanusiaan Yaman.

Namun, beliau berkata, negaranya tidak mempunyai pilihan lain dan perlu campur tangan dalam peperangan itu untuk menyokong sekutunya – kerajaan Abedrabbo Mansour Hadi yang telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Putera Mohammed berkata, kumpulan militia tersebut merupakan ancaman terhadap perdagangan antarabangsa di Lautan Merah.

“Sekiranya kami menunggu, ancaman tersebut akan menjadi lebih rumit, dan akan ada wujud ancaman terhadap Arab Saudi,” katanya.

Beliau juga mempertahankan keputusan Arab Saudi untuk menyertai peperangan itu kerana ia bertujuan untuk melindungi orang awam dalam perjuangan menentang Huthi dan sekutunya, iaitu bekas tentera yang setia dengan bekas presiden Yaman, Ali Abdullah Saleh.

“Kami boleh mengapuskan Huthi dan Saleh dalam masa beberapa hari…tetapi ia akan mengorbankan ribuan tentera kami dan rakyat Yaman akan menjadi mangsa,” ujarnya.

Kumpulan hak asasi manusia antarabangsa telah mengkritik kedua-dua pihak dalam peperangan itu kerana melanggar hak asasi manusia.

Mereka turut menuduh Arab Saudi dan sekutunya menyerang tempat awam termasuk hospital dan sekolah.

 

Sumber: The Sun Daily
Show More

Related Articles

Back to top button