AntarabangsaIsu Semasa

Media Sosial Jadi ‘Sasaran’ Kerajaan Thailand

Pengawal selia komunikasi Thailand bercadang untuk mengenakan penalti kewangan terhadap Facebook dan syarikat-syarikat media sosial yang lain yang mempunyai platform perkongsian video jika mereka gagal membuang kandungan-kandungan yang dianggap haram di negara itu, termasuk penghinaan keluarga diraja.

Menurut naib pengerusi Suruhanjaya Penyiaran dan Telekomunikasi Negara (NBTC), Kolonel Natee Sukonrat, rangka kerja baharu itu akan membolehkan pihak berkuasa untuk mendesak pembuangan bahan sensitif dengan segera tanpa perlu menunggu arahan daripada mahkamah.

Beliau berkata, butiran lanjut mengenai peraturan baharu itu akan dikeluarkan  pada bulan ini, dan syarikat-syarikat media sosial diberi tempoh 1 hingga 2 bulan untuk mematuhinya.

“Saya tidak akan menyentuh perkhidmatan (yang disediakan oleh media sosial); Saya akan menyentuh tentang cara anda (media sosial) membuat duit.

“Mereka perlu mengikut peraturan. Saya rasa mereka akan bekerjasama kerana mereka meraih banyak wang daripada Thailand,” kata beliau.

Sementara itu, Facebook menyatakan bahawa mereka sering menerima permintaan daripada kerajaan-kerajaan untuk mengehadkan akses kepada kandungan di Internet apabila ia melanggar undang-undang.

Thailand sebelum ini juga pernah menyekat akses kepada kandungan yang didakwa melanggar undang-undang lese majeste berhubung keluarga diraja.

Facebook berkata, apabila menerima permintaan sedemikian, mereka akan membuat semakan dan menentukan sama ada mereka diberi amaran tentang kandungan yang menyalahi undang-undang atau pun tidak.

Sekiranya kandungan itu didapati melanggar undang-undang, Facebook akan menyekat kandungan itu di negara atau wilayah berkenaan dan memaklumkan kepada orang ramai mengapa ia disekat.

Secara khusus, usaha untuk menyekat sebarang perbincangan mengenai aktiviti Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn telah membawa kepada pengawalan lebih ketat terhadap platform media sosial seperti Facebook, Youtube dan Instagram.

Walau bagaimanapun, Natee berkata, pihak berkuasa Thailand tidak berhasrat untuk menyekat perkhidmatan Facebook di negara itu, di mana beliau menyifatkan Facebook dan Youtube sebagai syarikat yang “amat bagus”, tetapi perlu mengikut undang-undang negara.

Sumber: The Star
Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker