Isu SemasaTempatan

Ekspatriat Hutang LHDN Cukai Tertunggak RM50 Juta

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mendedahkan bahawa lebih daripada RM 50 juta tunggakan cukai belum dikutip daripada ekspatriat yang telah meninggalkan Malaysia sejak tahun 2012.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Sabin Samitah berkata, kebanyakan daripada mereka adalah daripada sektor perkhidmatan, di mana mereka didapati telah memalsukan jumlah gaji di dalam borang permohonan ekspatriat atau mengisytiharkan pendapatan yang lebih rendah daripada apa yang mereka sebenarnya terima.

Menurut Sabin, mereka juga menyalahgunakan pas pelajar dan tidak menghadiri kolej. Namun, mereka sebaliknya menjalankan perniagaan dan tidak mengisytiharkan atau melaporkan pendapatan mereka kepada LHDN.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Sabin Samitah – Sumber: www.theedgemarkets.com

“Kita juga boleh melihat daripada jumlah wang kiriman kepada negara asal mereka dan gaya hidup mewah mereka di negara ini,” katanya selepas melancarkan sistem MyEXPAT untuk pengumpulan pendapatan ekspatriat pada Khamis minggu lepas.

Ujar Sabin, LHDN sedang berunding dengan 75 negara yang telah menandatangani Perjanjian Percukaian Dua Kali untuk mendapatkan semula cukai daripada ekspatriat.

“Walaupun kita masih belum mempunyai mekanisme untuk berbuat demikian, kaedah ini terbukti berkesan kerana ia telah dilaksanakan di sesetengah negara lain,” tambah beliau.

Tahun ini, LHDN akan mengambil tindakan terhadap majikan atau penaja yang gagal melaksanakan tanggungjawab mereka untuk menolak cukai pekerja asing sebelum mereka pulang ke negara masing-masing.

Sabin berkata, LHDNĀ akan menjalankan siasatan terhadap ajen audit yang membawa masuk ekspatriat dan pekerja asing ke Malaysia kerana terdapat laporan yang menyatakan bahawa ajen tidak mendedahkan pendapatan atau komisen yang diterima daripada ekspatriat.

Dalam pada itu, LHDN juga akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen melalui Bahagian Khidmat Ekspatriat (ESD) untuk menyemak status cukai mereka sebelum meninggalkan Malaysia.

“Jika mereka gagal membayar cukai, ekspatriat tidak akan dibenarkan untuk meninggalkan atau memasuki Malaysia,” ujarnya lagi.

Sumber: The Star

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close