AntarabangsaPolitik

Britain masih ada peluang untuk kekal dalam EU

“Sehingga rundingan berakhir, setiasa ada peluang untuk membuka semula pintu,” kata Presiden Perancis.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron baru-baru ini menyatakan bahawa pintu masih terbuka jika Britain ingin kekal dalam Kesatuan Eropah (EU) selagi rundingan Brexit belum dimuktamadkan.

Beliau berkata, keputusan Britain untuk bercerai daripada EU boleh ditarik balik sekiranya mereka ingin berbuat demikian.

Dalam sidang media bersama Perdana Menteri Britain, Theresa May di Paris hari ini, Macron bagaimanapun menjelaskan bahawa beliau enggan mempertikaikan dan akan tetap menghormati keputusan majoriti rakyat Britain yang ingin mengeluarkan negara itu daripada blok EU.

Dalam pada itu, Macron menegaskan bahawa walaupun Britain masih mempunyai peluang untuk menarik keputusan mereka, ia akan menjadi lebih sukar untuk berpatah balik selepas rundingan Brexit bermula nanti.

Walau bagaimanapun, May kekal dengan pendiriannya dan akan tetap melaksanakan rundingan Brexit yang dijadualkan untuk bermula pada minggu depan.

Tambah May lagi, beliau tetap berazam untuk menjayakan proses Brexit, tetapi pada masa yang sama masih ingin mengekalkan “hubungan istimewa” bersama EU.

Sementara itu, Presiden Majlis EU, Donald Tusk menggesa Britain supaya memulakan rundingan itu dengan segera kerana masa untuk kedua-dua pihak memeterai perjanjian semakin suntuk sebelum negara itu meninggalkan EU secara sah pada bulan Mac 2019 nanti.

Tusk berkata, ia amat penting untuk mematuhi waktu rundingan bagi mengurangkan gangguan kepada rakyat serta perniagaan.

Sumber: The Guardian UK

Show More

Related Articles

Back to top button