AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Pilihan Raya Britain: Apa Berlaku Jika Parlimen Tergantung?

Pilihan Raya Umum Britain ternyata memberi tamparan hebat kepada parti pemerintah, Parti Konservatif apabila tidak berjaya meraih majoriti mudah di dalam Parlimen sekali gus menyaksikan kejadian Parlimen Tergantung.

APA ITU PARLIMEN TERGANTUNG?

Gambar sekadar hiasan – Sumber: www.ibtimes.co.uk

Parlimen tergantung berlaku apabila tiada parti yang berjaya memenangi kerusi minimum yang diperlukan menubuhkan sebuah kerajaan.

Jumlah kerusi keseluruhan di Parlimen Britain adalah 650, dan kerusi minimum yang perlu dimenangi adalah sebanyak 326.

Namun, Parti Konservatif hanya memenangi 313 kerusi manakala 260 kerusi dimiliki oleh parti pembangkang, iaitu Parti Buruh.

Oleh itu, kedua-dua parti perlu bergabung untuk menubuhkan kerajaan baharu.

APA BERLAKU SELEPAS KEPUTUSAN AKHIR TELAH KELUAR?

Gambar sekadar hiasan – Sumber: www.thesun.co.uk

Berdasarkan protokol, kerajaan sebelumnya masih boleh mentadbir sementara tempoh rundingan untuk menubuhkan kerajaan campuran berlangsung.

Pada Pilihan Raya Umum tahun 2010, ketika tiada parti yang mendapat majoriti, bekas Perdana Menteri, Gordon Brown kekal dengan jawatannya [ada waktu itu.

Selalunya, rundingan tersebut boleh memakan masa selama beberapa minggu sebelum mencapai sebarang persetujuan.

Setelah rundingan di antara David Cameron (Parti Konservatif) dan Nick Clegg (Demokrat Liberal) berlangsung buat seketika, Brown menyedari beliau tidak akan membentuk kerajaan majoriti, lalu meletak jawatan dan beri peluang kepada Cameron untuk menjadi Perdana Menteri.

Ketika itu, Parti Konservatif hanya memenangi 306 kerusi diikuti Parti Buruh (258), Parti Demokrat Liberal (57) dan Parti Demokratik Kesatuan (8).

ADAKAH PERDANA MENTERI PERLU LETAK JAWATAN?

Perdana Menteri Britain, Theresa May – Sumber: www.thesun.co.uk

Perdana Menteri perlu letak jawatan hanya jika keadaan jelas menunjukkan bahawa mereka tidak boleh memimpin kuasa majoriti di House of Commons (Parlimen) mengikut undi percaya.

Ini berlaku apabila sebuah parti atau ahli parlimen bersetuju untuk menyokong kerajaan berdasarkan keyakinyan mereka.

Jika sebuah parti boleh meraih sokongan yang cukup untuk menghalang mereka daripada hilang undi percaya, mereka selalunya boleh memerintah sebagai kerajaan minoriti.

Tetapi, mereka juga akan menghadapi kesukaran untuk menggubal undang-undang melalui parlimen, kecuali jika mereka dapat sokongan daripada ahli parlimen di luar parti mereka.

Namun, Theresa May dilihat tetap akan mengekalkan kedudukannya walaupun digesa untuk letak jawatan oleh pemimpin Parti Buruh, Jeremy Corbyn.

MENGAPA RAMAI RAKYAT SOKONG JEREMY CORBYN KALI INI?

Pemimpin Parti Buruh, Jeremy Corbyn – Sumber: affinitymagazine.us

Sebelum ini, Corbyn dilihat sebagai seorang ahli politik yang “tidak mempunyai harapan”.

Namun, keadaan berubah dalam pilihan raya kali ini dan beliau juga dijangka akan menjadi Perdana Menteri Britain yang baru sekiranya May letak jawatan.

Jika dilantik, Corbyn telah berikrar untuk menggesa Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk tidak menarik diri daripada Perjanjian Iklim Paris.

Beliau menyifatkan keputusan Trump untuk menarik diri sebagai “cuai dan bahaya”.

Selain itu, beliau juga bercadang untuk memansuhkan yuran pengajian untuk pelajar dan menamatkan sistem ‘zero-hour contracts’.

Sistem tersebut membolehkan majikan untuk mengambil pekerja tanpa sebarang jaminan pekerjaan tetap.

Ini bermakna, pekerja hanya bekerja apabila diperlukan oleh majikan, dan selalunya pada notis yang singkat.

APA AKAN BERLAKU SELEPAS INI?

britain_elex_illo
Gambar sekadar hiasan – Sumber: www.vox.com

Setakat ini, kerajaan campuran masih belum boleh diwujudkan kerana Demokrat Liberal enggan bekerjasama dengan mana-mana parti.

Parti Konservatif dilihat ingin bekerjasama dengan parti-parti Kesatuan di Utara Ireland, tetapi ia masih tidak cukup untuk mendapat kuasa majoriti.

Jika Parti Buruh menubuhkan pakatan bersama Parti Nasional Scotland sekali pun, ia mungkin tidak cukup untuk membentuk kerajaan minoriti.

Sekiranya tiada parti yang mampu mendapat kuasa majoriti berdasarkan undi percaya, mereka tiada pilihan lain kecuali untuk mengadakan satu lagi pilihan raya umum.

BOLEHKAH PARLIMEN TERGANTUNG BERLAKU DI MALAYSIA?

parlimen2
Bangunan Parlimen Malaysia – Sumber: www.freemalaysiatoday.com

Malaysia mengamalkan sistem parlimen yang sama seperti United Kingdom. Walaupun keadaan ini masih belum berlaku, ia tidak mustahil.

Di Malaysia, jumlah kerusi di Parlimen adalah 222 dan parti perlu memenangi sekurang-kurangnya 112 kerusi untuk mendapat majoriti mudah (simple majority).

Sekiranya mendapat 111 kerusi dan ke bawah, maka akan berlakunya parlimen tergantung.

Jadi, jika mana-mana parti gagal untuk menguasai majoriti mudah di Parlimen, maka mereka perlu menubuhkan kerajaan campuran.

Sumber: Sky News, CNBC
Show More

Related Articles

Back to top button