AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Walaupun Tidak Mengundi, Belia Perancis Aktif Dalam Aktiviti Politik

Ramai orang muda tidak keluar mengundi pada Pilihan Raya Presiden Perancis pada bulan April lalu, tetapi itu tidak bermakna mereka tidak ambil peduli tentang masa depan negara.

Menurut Loic Frohn, belia Perancis yang berusia 19 tahun, golongan muda sering kali dilabel sebagai golongan yang tidak peduli dan tidak mempunyai perasaan serta minat terhadap politik.

Membalas kritikan itu, Frohn menyatakan bahawa mereka ‘bergiat’ dalam politik dengan cara yang berbeza, iaitu menerusi penglibatan sivik.

Sebuah kajian mendapati bahawa penglibatan sivik dalam kalangan belia berada pada tahap yang amat tinggi walaupun mereka cenderung untuk mengabaikan politik.

Frohn yang membesar di Paris berkata, beliau bersemangat untuk memperjuangkan “kesamarataan, kepelbagaian dan perpaduan”.

Beliau bekerja dalam satu program perkhidmatan awam yang membayar belia berusia antara 16 dan 25 tahun sebanyak 600 euro (RM2,830) untuk misi berdurasi 6 hingga 12 bulan.

Peserta yang menyertai program itu selalunya akan melawat rumah-rumah pesara dan membantu orang kurang upaya dengan aktiviti sukan dan kebudayaan.

Selain itu, Frohn juga dipilih menjadi duta porgam itu dan beliau pergi ke pelbagai sekolah untuk mempromosikan program ini kepada pemuda lain.

Tahun lepas, hampir 100,000 belia mengambil bahagian sekali gus menyaksikan peningkatan sebanyak 3 kali ganda hanya dalam tempoh 2 tahun.

“Mereka (kerajaan) berkata kami tidak aktif mungkin kerana kadar peratusan mengundi (rendah).

“Tetapi daripada mengundi untuk orang yang tidak mencerminkan nilai kami, kami sebaliknya mencerminkan nilai kami dengan sendiri, melalui tindakan kami,” katanya.

Bilangan golongan muda yang menjadi pengundi berdaftar di Perancis berada pada kadar yang amat rendah. Selain itu, ramai juga pengundi muda yang sudah berdaftar tidak menunaikan tanggungjawab mengundi.

Pada Pilihan Raya Presiden 2012, kira-kira 1 dari 5 pengundi berdaftar (19%) di bawah umur 25 tahun tidak keluar mengundi.

“Bantahan terhadap sistem politik sangat kuat,” kata Anne Muxel, ahli sosiologi yang bekerja di syarikat tinjauan pendapat Eropah, Generation What di Perancis.

Daripada semua 20,000 orang di dalam kajian itu, 87% responden tidak lagi yakin dengan politik dan 99% menganggap bahawa  ahli-ahli politik sebagai golongan yang agak korup.

Namun, Muxel berkata, ini tidak bermakna mereka tidak lagi percaya dengan aktiviti politik kerana majoriti golongan muda meletakkan keyakinan tinggi dalam organisasi kemanusiaan.

Dalam pada itu, penglibatan belia Perancis dalam perkhidmatan awam semakin meningkat.

Berdasarkan kajian kualiti kehidupan 2012 oleh Eurofound, belia Perancis, selangkah di belakang negara Iceland, adalah golongan yang paling aktif terlibat dalam kerja-kerja sukarela di Eropah.

Sumber: The Star

 

 

 

 

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker