AntarabangsaIsu Semasa

Turki Beri Pendidikan Kepada Kanak-Kanak Rohingya Di Pakistan

Sebuah yayasan Turki bernama Diyanet Foundation menyediakan pendidikan dan persekolahan kepada 4,000 kanak-kanak Rohingya yang berada di Karachi, Pakistan.

Menurut penyelaras program, Ahmet Kandemir, skim tersebut yang dimulakan pada 2015 dengan 25 kursus kini mempunyai 100 kursus.

Para pelajar yang menyertai program itu di ajar pelbagai subjek, antaranya adalah Bahasa Urdu, Bahasa Inggeris, kebudayaan dan juga membaca Al-Quran.

Buku-buku dan sokongan logistik lain untuk sekolah-sekolah itu semuanya disediakan oleh yayasan berkenaan.

Kakitangan Diyanet Foundation bersama pelajar Rohingya – Sumber: diyanetvakfi.org.tr

Memetik laporan Anadolu Agency, program ini menyasarkan daerah Korangi dan Malir yang berada di kawasan pantai, di mana populasi Rohingya bekerja sebagai buruh di dalam industri perikanan untuk menyara diri.

Pada tahun 1982, sebuah undang-undang telah diluluskan di Myanmar yang menafikan kewujudan penduduk etnik Rohingya, dan langkah itu menyebabkan mereka tidak diberi kerakyatan, kebebasan bergerak, akses kepada pendidikan dan perkhidmatan, dan harta juga boleh dirampas dengan sewenang-wenangnya.

Mereka telah melarikan diri dari Myanmar sejak pertengahan tahun 2012, apabila keganasan perkauman tercetus di negeri Rakhine antara kaum Buddha dan Muslim Rohingya di sana.

Selama bertahun-tahun, kumpulan minoriti itu telah lari ke negara-negara berdekatan, termasuk Pakistan.

“Rohingya telah menetap di pantai timur Pakistan, melarikan diri daripada tekanan politik di negara mereka,” kata Kandemir.

Ujar beliau lagi, golongan ini juga tidak mempunyai hak untuk diberi kerakyatan di Pakistan, jadi mereka tidak boleh menerima sebarang perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan.

“Dengan sokongan dan derma yang kami terima daripada rakyat Turki kami berharap untuk memberi kanak-kanak ini harapan untuk masa depan mereka,” tambah Kandemir.

Sementara itu, Zafer Iqbal pengarah urusan The NGO World (rakan kongsi Diyanet Pakistan), menyatakan bahawa sekolah-sekolah tersebut dipantau oleh direktorat pendidikan.

“Keluarga-keluarga di kawasan ini tidak pernah mempunyai peluang untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Kini, mereka mempunyai matlamat, dan harapan,” katanya.

Sumber: Anadolu Agency

Show More

Related Articles

Back to top button