AntarabangsaIsu Semasa

Syarikat Asing Bimbang Undang-Undang Siber Baru China

Selepas mengadakan debat hangat untuk beberapa tahun, China akhirnya menguatkuasakan undang-undang siber baharu yang disifatkan sebagai “undang-undang berkontroversi.”

Banyak kumpulan perniagaan asing meluahkan kebimbangan mereka kerana mereka tidak tahu intipati undang-undang itu secara terperinci dan ia mungkin akan menjejaskan perniagaan mereka di negara itu.

Diluluskan di Parlimen China pada bulan November lalu, undang-undang tersebut merupakan sebahagian daripada usaha Beijing untuk mengurus dan mengawal internet di dalam sempadan negara itu.

Usaha ini telah ditingkatkan sejak beberapa tahun yang lalu sejak Edward J. Snowden, bekas kakitangan perisik Amerika Syarikat, CIA dan ‘whistle-blower’ (pemberi maklumat), mendedahkan bahawa syarikat teknologi asing boleh membantu perisik kerajaan.

Edward J. Snowden – Sumber: www.biography.com

Pegawai kerajaan China menyatakan bahawa undang-undang baharu ini akan membantu melindungi negara tersebut menentang serangan siber dan membendung keganasan.

Walau bagaimanapun, pelbagai pihak dari kumpulan perniagaan meluahkan kebimbangan kerana beberapa bahagian undang-undang berkenaan akan menjadikan operasi mereka kurang selamat dan lebih mahal.

Malah, menurut mereka, ia juga boleh menghapuskan perniagaan mereka secara menyeluruh.

Michael Chang, seorang eksekutif dari syarikat Nokia dan naib presiden European Union Chamber of Commerce di China berkata, undang-undang tersebut akan memberi impak yang besar terhadap bagaimana perniagaan dijalankan di negara itu.

“Malangnya, terdapat banyak kekeliruan. Industri belum bersedia kerana peraturan pelaksanaan masih tidak jelas,” kata Chang sambil menambah bahawa masih banyak perkara yang perlu diberi penjelasan secepat mungkin.

Memetik laporan New York Times, undang-undang itu memperuntukkan syarikat-syarikat untuk meletakkan data mereka di dalam China, dan ia juga akan mengenakan pemeriksaan keselamatan terhadap syarikat dalam sektor kewangan dan komunikasi.

Laman Web CAC – Sumber: www.techblog86.com

Sementara itu, pengguna individu perlu berdaftar menggunakan nama sebenar mereka untuk menggunakan perkhidmatan mesej.

Ujar Chang lagi, pegawai kerajaan China hanya menerangkan “kurang daripada setengah” maklumat mengenai bagaimana undang-undang itu akan dikuatkuasakan.

Namun, menurut pihak berkuasa siber tempatan, Cyberspace Administration of China (CAC), undang-undang itu tidak menyasarkan syarikat dan kumpulan perniagaan luar susulan lebih daripada 50 syarikat membantah pelaksanaannya.

“Tujuan (undang-undang itu) adalah untuk melindungi kedaulatan ruang siber negara dan keselamatan negara…dan bukannya untuk menyekat syarikat asing,” kata CAC dalam sebuah kenyataan di laman webnya.

Awal bulan ini, CAC bertemu dengan kumpulan perniagaan asing dalam satu mesyuarat tertutup untuk meredakan segala kebimbangan dan ketakutan. Undang-undang itu juga akan dikuatkuasakan secara berperingkat selama tempoh 18 bulan. 

Gambar sekadar hiasan – Sumber: www.adweek.com

CAC turut berkata, undang-undang itu tidak direka untuk menghalang perdagangan antarabangsa atau aliran data merentasi sempadan China.

Walau bagaimanapun, syarikat perniagaan asing menyatakan bahawa bagaimana undang-undang itu akan memberi impak adalah bergantung kepada cara ia dilaksanakan oleh kerajaan China.

Selain itu, China juga mengamalkan peraturan penapisan yang ketat dengan melarang akses agensi berita luar, enjin carian dan media sosial termasuk Google dan Facebook.

Sumber: New York Times, The Star

 

Show More

Related Articles

Back to top button