AntarabangsaIsu Semasa

China: Majoriti Daripada 316 Juta Perokok Enggan Berhenti

Baru-baru ini, statistik menunjukkan bahawa kira-kira 316 juta penduduk China, iaitu suku daripada populasi keseluruhan negara itu adalah golongan perokok.

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Chinese Centre for Disease Control, dan penyelidik Kanada bersama International Tobacco Control Project (ITC), majoriti perokok adalah kaum lelaki, dan 59% daripada mereka tidak bercadang untuk berhenti merokok.

Angka itu ternyata membimbangkan dan bandar-bandar utama di Beijing dan Shanghai telah mengambil langkah mengharamkan merokok di tempat-tempat awam.

Selain itu, kerajaan pusat juga telah meluluskan peningkatan cukai pada rokok dua sejak dua tahun lalu.

Namun, pegawai kesihatan menyatakan bahawa langkah itu tidak mencukupi, dan mereka bercadang untuk mengenakan larangan merokok di tempat awam di seluruh negara, cukai rokok yang lebih tinggi dan amaran kesihatan yang lebih agresif.

Pengarah kawalan tembakau di Chinese Centre for Disease Control, Yuan Jiang, menegaskan bahawa langkah-langkah tersebut adalah “amat penting” untuk dilaksanakan.

Kajian itu juga mendapati bahawa 60% perokok di China tidak menyedari bahawa rokok boleh menyebabkan penyakit strok manakala hampir 40% tidak menyedari tabiat itu boleh mendatangkan penyakit jantung.

Selain itu, sebuah laporan bersama Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan China ‘dalam perjalanan’ menuju ke arah 200 juta kematian daripada penyakit yang berpunca daripada merokok pada akhir abad ini.

Daripada kesemua 200 juta kematian itu, majoritinya akan berlaku dalam masyarakat yang termiskin di negara tersebut.
Sumber: SBS, The Star

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker