AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Putin Mengaku Rusia Terlibat Dalam Penggodaman Pilihan Raya AS

Presiden Rusia, Vladimir Putin buat pertama kali mengakui bahawa penggodam Rusia mungkin terlibat di dalam serangan siber yang menyasarkan Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) pada November lalu.

Memetik laporan ABC News, kenyataan itu dikeluarkan apabila seorang wartawan meminta komen beliau mengenai kebimbangan bahawa penggodam Rusia mungkin akan campur tangan dan mempengaruhi pilihan raya Jerman yang akan datang seperti yang dilakukan terhadap AS sebelum ini.

Menurut Putin, serangan tersebut mungkin dilakukan oleh “penggodam Rusia yang patriotik”, di mana mereka didakwa melibatkan diri dalam perjuangan menentang mana-mana pihak yang memburuk-burukkan Rusia.

Walau bagaimanapun, Putin menafikan sebarang penglibatan atau campur tangan kerajaannya dalam penggodaman pilihan raya AS itu.

“Namun kerajaan Rusia langsung tidak terlibat dalam perkara ini dan saya percaya penggodam tidak boleh mempengaruhi fikiran pengundi,” kata beliau.

Beliau berkata, penggodam persendirian itu mungkin terpengaruh dengan apa yang mereka lihat di dalam berita dan memutuskan untuk melancarkan serangan secara peribadi.

“Penggodam adalah manusia bebas, seperti artis. Mereka bangun hari ini, baca apa yang sedang berlaku dalam hubungan antara negara, dan sekiranya mereka berpatriotik, mereka akan melakukan bahagian (‘tugas’) mereka, kerana menganggap ia tindakan betul untuk menentang pihak yang memburuk-burukkan Rusia,” katanya.

Ujar beliau lagi, perkara itu, secara teorinya adalah sesuatu yang tidak mustahil untuk berlaku.

Pada masa yang sama, Putin juga tidak mempercayai bahawa kegiatan penggodaman boleh memberi kesan besar terhadap keputusan akhir sesebuah pilihan raya.

“Paling penting sekali, saya amat yakin bahawa tiada penggodam yang mampu mempengaruhi dengan ketara proses kempen pilihan raya di negara lain,” katanya.

Sumber: ABC News

 

 

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button