AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Mengapa Trump Ingin Menarik Diri Dari Perjanjian Paris?

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump semalam  (Rabu)  menyatakan bahawa beliau akan mengumumkan sama ada AS akan tarik diri daripada Perjanjian Paris dalam  perubahan iklim pada hari ini.

Perjanjian Paris adalah satu perjanjian di antara 195 negara di seluruh dunia untuk mengurangkan pelepasan gas yang boleh menyebabkan perubahan iklim secara berperingkat.

Langkah ini bertujuan untuk membendung peningkatan drastik dalam suhu global yang boleh meningkatkan paras laut, mencetuskan kemarau besar dan juga ribut taufan yang lebih bahaya.

Perjanjian yang dirunding pada tahun 2015 dan dikuatkuasakan pada tahun 2016 itu diwujudkan susulan konsensus saintifik global yang menunjukkan bahawa peningkatan suhu global sejak beberapa dekad lalu berpunca dari aktiviti buatan manusia.

Selain itu, antara objektif utama perjanjian ini adalah untuk membendung peningkatan suhu global sebanyak 2 darjah Celsius yang boleh memudaratkan bumi.

Untuk mencapai matlamat tersebut, pelepasan gas rumah hijau global perlu dikurangkan sebanyak 40% – 70% menjelang tahun 2050, dan pada tahun 2100, planet ini perlu menjadi karbon neutral.

APA YANG PERLU DILAKUKAN OLEH NEGARA-NEGARA YANG TERLIBAT?

Gambar sekadar hiasan – Sumber: www.foei.org

Di bawah perjanjian ini, setiap negara perlu mengemukakan cadangan tersendiri untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan menangani impak perubahan iklim.

Secara keseluruhan, perjanjian tersebut tidak termaktub di bawah undang-undang. Ini bermakna, mana-mana negara yang gagal menunaikan komitmen mereka tidak akan dikenakan sebarang tindakan.

Walau bagaimanapun, setiap negara masih diwajibkan untuk melaksanakan rancangan mereka, dan ini termasuk proses penyemakan semula yang bertujuan untuk menekan mereka supaya meningkatkan usaha dalam tempoh setiap 5 tahun.

MENGAPA TRUMP INGIN MENARIK DIRI?

Gambar sekadar hiasan – Sumber: www.salon.com

Pertama, Trump tidak menerima konsensus saintifik terhadap perubahan iklim dan beliau juga gemar dengan teori konspirasi yang menggelar golongan pakar seperti penyelidik, doktor, atau agensi kerajaan sebagai ‘penjahat’.

Presiden AS itu juga menganggap konsep perubahan iklim sebagai satu “penipuan” dan pernah turut menuduh China sebagai dalang yang mewujudkan konsep itu supaya “industri AS menjadi tidak kompetitif.”

Namun, beliau kemudian menyatakan bahawa dakwaan itu adalah satu ‘gurauan’. Pada masa yang sama, Trump tidak rasa China akan menunaikan janji mereka untuk mengurangkan penggunaan bahan api fossil.

Yang kedua, Trump juga seorang yang skeptikal (ragu-ragu) terhadap perjanjian antarabangsa dan institusi secara amnya. Beliau sering mengadu bahawa AS terikat dengan kewajipan-kewajipan yang tidak mendatangkan manfaat jelas kepada negara itu.

Ketiga, Trump tidak bersetuju dengan peraturan dan perbelajaan yang dicadangkan oleh pentadbiran bekas presiden Barack Obama untuk mencapai matlamat perjanjian itu.

Menurut beliau, cadangan yang telah dikemukakan itu hanya akan mengurangkan lagi pertumbuhan ekonomi AS.

Trump turut berkempen untuk menghidupkan semula industri arang batu dan beliau amat tidak suka dengan tenaga boleh diperbaharui, terutamanya angin.

APA AKAN BERLAKU JIKA AS KELUAR DARI PERJANJIAN PARIS?

Penunjuk perasaan yang membantah cadangan Trump keluarkan AS dari Perjanjian Paris – Sumber: www.euractiv.com

Perjanjian tersebut tidak akan ‘hancur’ dalam sekelip mata. Menurut laporan, China dan Kesatuan Eropah telah pun bersedia untuk melaksanakan perjanjian itu sama ada dengan atau tanpa penglibatan AS.

Segelintir pakar menyatakan bahawa China sudah pun mengurangkan penggunaan arang batu lebih awal daripada waktu yang ditetapkan untuk mengurangkan asap/jerebu di bandar-bandar utama.

Secara teknikalnya, Trump juga tidak boleh menarik diri dari perjanjian itu sehingga November 2019.

Ia adalah satu soalan terbuka sama ada AS akan melaksanakan matlamat mengurangkan pelepasan gas menerusi perjanjian itu atau tidak.

Ekonomi masa kini sudah pun bergerak jauh dari sumber tenaga seperti arang batu dan menggantikannya dengan tenaga asli yang lebih bersih serta tenaga yang boleh diperbaharui dengan kos lebih berpatutan.

Oleh itu, tindakan Trump mungkin tidak cukup untuk mengubah trend ini.

Negeri seperti California juga telah berikrar untuk mewujudkan undang-undang sekatan alam sekitar mereka tersendiri sekiranya tindakan Trump keluarkan AS dari Perjanjian Paris mendatangkan mudarat.

Sumber: NBC News, Al Jazeera

 

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button