AntarabangsaIsu Semasa

Filipina Menjadi Hab Baru Kumpulan Pengganas

Sejak minggu lalu, ramai pejuang luar telah berjuang bersama penyokong kumpulan pengganas IS menentang pasukan keselamatan di selatan Filipina.

Ini membuktikan bahawa wilayah bergolak itu kini sedang menjadi hab Asia bagi kumpulan ultra-radikal tersebut.

Menurut sumber perisikan Filipina, seramai 40 daripada 400-500 orang pejuang yang menakluki bandar Marawi di kepulauan Mindanao pada Selasa lepas itu datang dari luar negara, termasuk negara-negara di Timur Tengah.

Sumber itu berkata, ia termasuk rakyat Indonesia, Malaysia, sekurang-kurangnya seorang warga Pakistan, Arab Saudi, Chechnya, Yaman, India dan seorang warga Maghribi yang memiliki pasport Turki.

“IS semakin mengecil di Iraq dan Syria, dan mengagihkan kuasa di bahagian-bahagian Asia dan Timur Tengah,” kata Rohan Gunaratna, pakar keselamatan di S. Rajaratnam School of International Studies, Singapura.

Memetik laporan Reuters, walaupun IS dan sekutu-sekutu mereka telah mengaku bertanggungjawab di atas beberapa serangan di Asia Tenggara sejak dua tahun lalu, pertempuran di Bandar Marawi merupakan konfrontasi pertama yang berpanjangan dengan pasukan keselamatan.

Tentera Filipina di Bandar Marawi
Tentera Filipina di Bandar Marawi – Sumber: news.abs-cbn.com

Seminggu selepas pertempuran bermula, kerajaan Filipina menyatakan bahawa mereka semakin hampir untuk mengambil semula bandar itu.

Tahun lalu, militan Asia Tenggara yang berjuang untuk IS di Syria menyiarkan sebuah video menggesa di negara mereka untuk menyertai perjuangan di selatan Filipina atau melancarkan serangan di negara masing-masing daripada pergi ke Syria.

Selain itu, Sidney Jones, pakar terorisme di Jakarta telah memberi Reuters beberapa mesej terkini penyokong IS di aplikasi Telegram.

Dalam salah sebuah mesej, seorang pengguna dalam ruang perbualan itu melaporkan bahawa dia berada di pusat Bandar Marawi, di mana dia boleh melihat tentera “lari seperti khinzir” dan “darah kotor mereka bercampur dengan mayat rakan mereka.”

Kemudian, dia meminta pengguna-pengguna lain untuk menyebarkan maklumat tersebut ke Amaq News Agency, iaitu sebuah platform berita pengganas IS.

Seorang lagi pengguna pula membalas mesej menggunakan bahasa Arab: “Hijrah kepada Filipina. Pintu sedang terbuka,” tulisnya.

Gambar sekadar hiasan

Difahamkan, pertempuran di Bandar Marawi tercetus susulan serbuan tentera untuk  menangkap ketua Abu Sayyaf, Isnilon Hapilon.

Abu Sayyaf dan kumpulan baru dikenali sebagai Maute, telah bersumpah taat setia terhadap pengganas IS.

Kedua-dua kumpulan itu juga berjuang bersama di bandar tersebut, di mana mereka membakar hospital, gereja, dan menculik seorang paderi Katolik.

Susulan pertempuran tersebut, Presiden Filipina, Rodrigo Duterte melaksanakan pemerintahan tentera di seluruh kepulauan Mindanao yang mempunyai kira-kira 21 juta penduduk.

Sementara itu, Ketua Bahagian Counter-Terrorism Polis Diraja Malaysia, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, mendedahkan empat orang rakyat Malaysia yang dipercayai pergi ke Mindanao untuk menyertai kumpulan militan.

Dr. Mahmud Ahmad – Sumber: www.thestar.com.my

Antaranya adalah Mahmud Ahmad, seorang pensyarah universiti tempatan yang dikatakan bersedia untuk mengambil alih kepimpinan IS di selatan Filipina sekiranya Hapilon terbunuh, kata Ayob.

Menurut Gunaratna, Ahmad memainkan peranan penting dalam menubuhkan platform IS di wilayah tersebut.

Berdasarkan kajian di sekolahnya, 8 dari 33 orang militan telah terbunuh dalam empat hari pertama pertempuran di Bandar Marawi adalah pejuang luar.

“Ini menunjukkan bahawa pejuang pengganas luar membentuk komponen luar biasa yang tinggi dalam pejuang IS dan demografi IS di Asia Tenggara,” ujar beliau.

Sumber: Reuters
Show More

Related Articles

Back to top button