AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Eropah Tidak Boleh Lagi Bergantung Kepada AS Dan UK

Canselor Jerman, Angela Merkel baru-baru ini menyatakan bahawa Eropah tidak boleh lagi bergantung dengan sekutu mereka, iaitu Amerika Syarikat (AS) dan Britain

Oleh itu, beliau menegaskan kepada negara-negara anggota Kesatuan Eropah (EU) supaya menentukan masa depan Eropah dengan sendiri.

Merkel juga mengakui bahawa hubungan antara Berlin dan Washington di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump menjadi semakin retak, dan EU perlu mengubah diri selepas UK memutuskan untuk bercerai dengan EU menerusi Brexit.

“Waktu-waktu yang kita boleh bergantung pada orang lain, ia kini pada tahap tertentu sudah berakhir. Saya telah mengalaminya sejak beberapa hari yang lalu,” kata Merkel yang merujuk kepada G7 dan sidang kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), yang mendedahkan perbezaan di antara Jerman dan AS dalam isu-isu dasar luar dan perdagangan antarabangsa.

Walau bagaimanapun, Merkel menyatakan bahawa Jerman tetap akan menjaga hubungan dengan AS, Britain, Rusia dan negara-negara lain sebagai “jiran yang baik.”

“Tetapi, kita juga perlu tahu bahawa kita sebagai warga Eropah harus berjuang untuk masa depan kita dengan sendiri, untuk nasib kita,” katanya.

Kenyataan Merkel timbul ketika Trump mengkritik sekutu Eropah kerana tidak melaksanakan usaha yang cukup untuk pertahanan Eropah dan cuba untuk menyerahkan tanggungjawab itu kepada AS.

Semasa Trump menghadiri persidangan pemimpin-pemimpin NATO yang pertama di Brussels pada Khamis lepas, beliau mendakwa bahawa negara-negara Eropah berhutang “sejumlah wang yang besar” kepada AS berikutan penajaan negara itu untuk pertahanan dan keselamatan Eropah selama berdekad-dekad.

Sekutu-sekutu Eropah juga terkejut dengan ucapan umum Trump di ibu pejabat baru NATO, di mana beliau tidak menegaskan komitmen terhadap Perkara 5 perjanjian penubuhan NATO, yang menyatakan bahawa serangan terhadap seorang anggota adalah serangan terhadap semua anggota di bawah sistem pertahanan kolektif.

Selain itu, sementara enam negara yang mempunyai ekonomi terbesar di dunia berkikrar untuk memberi komitmen terhadap perjanjian iklim Paris, pentadbiran Trump tidak menyertai konsensus itu.

Presiden AS itu berkata di Twitter, bahawa beliau akan membuat keputusan akhir pada Paris Accord minggu depan.

Merkel mengkritik kedudukan AS semasa sidang akhbar di penghujung persidangan G7 di Itali dua hari lalu (Sabtu), dengan menyifatkan seluruh perbincangan mengenai perubahan iklim sebagai “sangat tidak memuaskan”.

Jerman dan Perancis, dua negara utama dalam EU, telah menjadi penyokong tegar terhadap perjanjian iklim Paris tersebut.

Perjanjian yang ditandatangani di Paris dua tahun lalu itu, bertujuan untuk mengurangkan pelepasan karbon dengan ketara, dengan mengehadkan pemanasan global kepada bawah 2 darjah Celsius.

Sumber: Anadolu Agency

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker