Isu SemasaPolitikTempatan

Kurangkan Umur Mengundi Kepada 18 Tahun

Di Malaysia, antara syarat kelayakan mengundi di dalam pilihan raya adalah seseorang individu itu perlu berumur sekurang-kurangnya 21 tahun.

Tetapi, seorang peguam, Syahredzan Johan, berpandangan bahawa sudah tiba masanya untuk mengurangkan had umur untuk mengundi kepada 18 tahun.

Menurut beliau, hak untuk mengundi adalah satu hak yang suci dan berharga di dalam mana-mana negara yang mengamalkan sistem demokrasi.

Dengan mengundi, seseorang pengundi itu mempunyai kuasa untuk menentukan siapa yang akan mewakilinya dalam Badan Perundangan, sama ada di Dewan Rakyat mahupun Dewan Undangan Negeri.

Syahredzan berkata, di negara-negara luar seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, India dan Iran, umur untuk mula mengundi adalah 18 tahun.

Beberapa negara dalam Asia Tenggara seperti Thailand, Filipina dan Indonesia turut mengamalkan menetapkan syarat yang sama.

Ujar beliau lagi, usia majoriti (dewasa) di Malaysia adalah 18 tahun. Setelah seseorang itu mencapai usia dewasa, mereka sudah boleh berkahwin, mengambil lesen memandu, dan juga tidak memerlukan wakil untuk ke mahkamah dan akan dibicarakan sebagai seorang dewasa jika didakwa.

“Namun, atas sebab tertentu, dia (seseorang individu) hanya boleh daftar mengundi pada usia 21 tahun,” katanya.

Syahredzan menyatakan terdapat perdebatan bahawa seorang individu dewasa berusia di bawah 21 tahun tidak cukup “matang” untuk mengundi, tetapi perkara itu sangat mengelirukan.

“Pertama sekali, kematangan tidak ditentukan oleh usia. Kematangan politik pengundi datang dengan pendidikan, bukan usia,” menurut Syahredzan.

Tambahnya lagi, seorang pengundi yang berpengetahuan adalah lebih matang dari segi politik berbanding pengundi yang tidak berpengetahuan.

Syahredzan berkata, kematangan tidak menjadi syarat untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya. Kematangan politik adalah penting dalam memastikan supaya calon-calon terbaik dilantik, tetapi ia tidak sepatutnya menjadi satu syarat untuk layak mengundi.

Oleh itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan untuk mengurangkan usia mengundi kepada 18 tahun kerana ia adalah satu perkara yang ingin dicapai oleh golongan muda.

Syahredzan menyatakan bahawa sebuah kempen yang dikenali sebagai “Undi 18” menyeru untuk meminda Artikel 119 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan usia 21 tahun untuk mengundi.

“Kempen ini patut disokong. Sayap pemuda dari parti-parti politik, tidak kira gabungan politik, perlu menjadikan inisiatif ini sebahagian daripada perjuangan mereka.

“Belia Malaysia perlu dibenarkan dan diberi peluang untuk mengambil bahagian dan bantu menentukan masa depan negara melalui proses politik,” ujar beliau.

Sumber: The Star
Show More

Related Articles

Back to top button