AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Parlimen Greece Sokong “Undang-Undang Berkontroversi”

Kerajaan Greece telah meluluskan satu rang undang-undang (RUU) yang akan mengetatkan lagi langkah penjimatan (austerity measures) dalam kerajaan dan meningkatkan kutipan cukai.RUU berkontroversi tersebut diluluskan selepas mendapat sokongan majoriti oleh 153 orang daripada 300 ahli parlimen.

Sebelum itu, Perdana Menteri, Alexis Tsipras dengan aktif melobi RUU tersebut dengan memberitahu pihak pembangkang bahawa ia akan membantu Greece untuk bebas dari kekangan atau krisis kewangan.

“Kita sedang menuju ke arah agenda positif untuk negara dan masyarakat,” kata beliau.

 Walau bagaimanapun, langkah itu mencetuskan kemarahan orang ramai, di mana kakitangan awam termasuk pekerja pengangkutan, pelaut, doktor dan pengawal trafik udara mengadakan mogok dan tunjuk perasaan.

Pada tahun 2015, Tspiras berjanji untuk tidak lagi melaksanakan memorandum dan langkah penjimatan, namun beliau kini menguatkuasakan potongan pencen dan mengurangkan perbelanjaan isi rumah pada tahun-tahun yang akan datang.

“Tanah air kami telah menjadi koloni penjimatan yang tiada penghujungnya,” kata pemimpin parti New Democracy, Kyriakos Mitsotakis yang juga ketua pembangkang.

Ujar beliau lagi, Greece sedang “hidup dalam mimpi ngeri hasil daripada keputusan Tsipras dan Panos Kammenos (pemimpin parti Independent Greeks).”

Langkah penjimatan baru itu akan memotong pencen dari 9% sehingga 18% dan had bebas cukai akan dikurangkan kepada hampir 3,000 euro sehingga 5,681 euro  dari pendapatan tahunan.

Selain itu, negara itu juga perlu membayar hutang sebanyak 7.5 bilion euro pada bulan Julai ini.

Sumber: Anadolu Agency

Show More

Related Articles

Back to top button