AntarabangsaIsu Semasa

Maharaja Akihito Akan Dibenarkan Turun Takhta

Buat julung kalinya selepas 200 tahun, Kabinet Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe telah meluluskan rang undang-undang yang membenarkan Maharaja Jepun untuk menurun takhta dengan rela.

Rang undang-undang tersebut dibuat berikutan hasrat Maharaja Akihito yang ingin melepaskan takhta baginda dalam tempoh beberapa tahun lagi kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan untuk melakukan tugas-tugas rasminya.

Sebelum ini, Maharaja yang terakhir untuk turun takhta adalah Maharaja Kokaku, yang berundur pada tahun 1817

Hasratnya itu yang disiarkan secara langsung pada bulan Julai lepas merupakan satu “kejutan besar” buat seluruh rakyat Jepun.

Pada tahun 2003, Maharaja Akihito pernah menjalani pembedahan kerana mengalami kanser prostat, dan dimasukkan ke hospital pada tahun 2008 kerana masalah kesihatan lain seperti sakit dada, darah tinggi dan pendarahan dalaman.

Menurut laporan, baginda yang kini berusia 83 tahun bercadang untuk berundur pada bulan Disember 2018 dan takhta akan diwarisi oleh anakandanya, Putera Naruhito pada 1 Januari 2019.

Tetapi, memandangkan tiada sebarang undang-undang semasa yang memperuntukan seorang Maharaja untuk melepaskan takhta, ia memerlukan ahli-ahli politik untuk merangka satu rang undang-undang khas untuk membenarkannya.

Ketua Setiausaha Kabinet, Yoshihide Suga berkata, ia (rang undang-undang) akan dihantar ke Parlimen untuk dibahas dan berkemungkinan akan mendapat kelulusan akhir tanpa sebarang masalah.

Selain itu, undang-undang itu juga dijangka akan mula berkuatkuasa pada pada akhir sesi Diet (Parlimen Jepun) pada pertengahan bulan Jun ini.

Walau bagaimanapun, proses melepaskan takhta difahamkan perlu dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun dari tempoh rang undang-undang berkenaan dikuat kuasakan.

Sumber: Telegraph UK, Berita Harian
Tags
Show More

Related Articles

Back to top button