Isu SemasaPolitikTempatan

Bolehkah Orang Islam Mengundi Calon Bukan Islam?

Pilihan raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11) yang dilangsungkan pada tahun lepas menyaksikan kelainan daripada pilihan raya masa-masa lalu, kerana buat julung kalinya dalam sejarah, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) telah memberi watikah pelantikan kepada calon bukan Islam.

Namun begitu, keputusan ini dipersoalkan oleh sesetengah pihak yang mengganggap bahawa PAS telah ‘melanggar’ prinsip perjuangan mereka dalam menegakkan agama Islam kerana orang-orang Islam harus memilih calon daripada kalangan orang Islam sendiri

Dalam menjawab persoalan yang sebegini, Dr. Zaharuddin Abdul Rahman, Pensyarah Kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia,  pernah menjelaskan dalam sebuah video bahawa soal boleh ataupun tidak boleh dalam kes mengundi orang bukan Islam ini bergantung pada keadaan.

Dr. Zaharuddin Abdul Rahman – Sumber: mynewshub.cc

“Menurut sebahagian ulama’, dalam kes mengundi orang bukan Islam ini kita harus lihat siapa calon itu sedang bersama-sama,” kata beliau.

“Kalau dia calon bukan Islam, tetapi dia ada ‘MoU’ dengan orang Islam, di mana kumpulan persepakatannya itu mampu membawa kebaikan lebih kepada Islam, kita undi dia kerana gabungannya,” ujarnya lagi.

Dalam erti kata yang lebih jelas, ini bermakna bahawa sekiranya di dalam sesuatu kawasan itu mempunyai calon bukan Islam dan calon Islam, tetapi gabungan calon bukan Islam itu lebih membawa manfaat kepada Islam berbanding gabungan calon Islam itu, maka kita boleh mengundi calon bukan Islam itu di atas dasar gabungannya bersama orang Islam.

Sehubungan itu, persoalan ini juga pernah ditujukan kepada Ustaz Ali Muda melalui sebuah blog bernama tranungkite.net pada suatu masa dahulu dan berikut adalah jawapan beliau:

“Harus untuk kita memilih calon yang bukan beragama Islam untuk memberi kemenangan kepada sebuah gagasan perjuangan menegakkan keadilan dan menentang kezaliman.”

“Oleh itu, harus hukumnya untuk kita mengundi calon bukan Islam yang sama perjuangannya dengan kita.

Allah s.w.t. berfirman maksudnya: “Dan bertolong-tolonganlah kamu dalam perkara kebajikan dan takwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam perkata dosa dan pencabulan/permusuhan” (Surah al-Maidah: 2).

Oleh yang demikian, Clement Bayang, seorang bekas penyanyi dan artis rakaman Iban Sarawak, merupakan satu-satunya calon beragama Kristian daripada sebelas orang calon yang dilantik dan akan mewakili PAS di kawasan DUN Kakus N60.

Clement pada waktu itu amat berkeyakinan tinggi bahawa beliau mampu memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kakus yang selama ini dipegang oleh parti Barisan Nasional (BN).

Clement Bayang, Calon bukan Islam PAS di DUN N60 Kakus – Sumber: kitaikini.com

“Sejak tiga tahun berkempen bersama parti Islam itu, penduduk di Kakus yang kebanyakan berbangsa Iban mula menerima dan memahami perjuangan yang dibawa PAS,” katanya.

Dalam pada itu, Clement turut menyatakan bahawa beliau selalu berkempen di rumah-rumah panjang dan telah menjelaskan kepada penduduk bahawa PAS adalah satu platform yang efektif.

“Ini kerana parti-parti lain nampaknya tidak bergerak dari awal. Cuma bila sampai waktu pilihan raya baru mula mendekati rakyat,” kata beliau sambil menambah bahawa langkah sebegitu terbukti tidak berkesan dan ia menjadi sebab mengapa beliau memilih PAS.

Selepas Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat pengumuman rasmi berkenaan pelantikan Clement sebagai calon PAS, beliau berkata: “selama saya dengan PAS saya rasa betul-betul tenteram.”

Clement Bayang – Sumber: Free Malaysia Today

Sebagai Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Negeri Sarawak, beliau turut memberi penjelasan bahawa PAS Pusat dan negeri telah memberikan sokongan yang memberangsangkan kepadanya dan bersama-sama turun padang bagi meneliti segala masalah yang rakyat hadapi, terutamanya penduduk Kakus.

“Kita kerja bukan seorang. Dalam PAS ini anggota memang banyak sama ada dari Semenanjung dan di sini. Kita tidak rasa berseorangan,” ujar beliau.

Walau bagaimanapun, Clement tewas di dalam PRN 11 hanya dengan meraih 482 undi, dan kemenangan diperoleh Datuk John Sikie Tayai dari Barisan Nasional dengan 7054 undi.

Sumber: Astro Awani, PAS Representative Council Australia Facebook Page, tranungkita.net, Sarawakiana 
Show More

Related Articles

Back to top button