Isu SemasaTempatan

Aplikasi Telegram Menjadi Platform ‘Bai’ah’ Pengganas Daesh

Menurut Puan Mastura Mohamad, Eksekutif Penyelidik Kanan Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), statistik terkini daripada Jabatan Penjara Malaysia mendapati bahawa seramai 118 orang telah ditahan atau telah disabitkan kesalahan kerana terlibat dalam kegiatan militan IS atau Daesh.

Peningkatan penglibatan belia dalam kegiatan terorisme semakin menjadi-jadi dan berada pada tahap yang membimbangkan.

Lebih membimbangkan lagi, kira-kira 108 orang (90%) daripada jumlah itu adalah dari kalangan belia manakala 10 orang lagi bukan belia.

“Peningkatannya sangat drastik…Jadi, isu ini memang kita kena tangani untuk mengelakkan belia-belia kita daripada terlibat dengan daesh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan pembentangan data di Program Travelog Ilmu Siri 2/2017: Apokalips Radikalisme & Ekstremisme di Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) semalam, 11 Mei 2017.

Program Travelog Ilmu Siri 2/2017: Apokalips Radikalisme & Ekstremisme

Selain itu, kajian IYRES mendapati bahawa majoriti belia (85%) mendapatkan maklumat mengenai Daesh menerusi media sosial seperti Facebook, Telegram, dan sebagainya.

Dalam kebanyakan kes, belia yang terlibat dalam kegiatan keganasan pada asalnya hanya ingin membantu rakyat Syria yang ditindas, namun mereka melakukannya dengan cara yang salah.

Ujar Mastura, terdapat juga belia menyertai kumpulan pengganas sebenarnya ingin bertaubat dan mencari erti kehidupan, tetapi mereka kemudian terjumpa guru yang salah dan terpengaruh dengan ideologi songsang.

Mereka juga mempunyai pemikiran bahawa satu-satunya jalan untuk ‘Jihad’ adalah melalui peperangan sedangkan terdapat pelbagai bentuk jihad lain yang mereka telah terlepas pandang.

Kumpulan Pengganas IS

Dalam pada itu, ketua militan Daesh Asia Tenggara Muhammad Wanndy Mohamed Jedi yang terbunuh dalam satu serangan di Raqqa, Syria pada 29 April lepas juga menjadi ‘idola’ bagi belia yang menyertai kumpulan itu.

Mastura menyatakan bahawa Wanndy mempunyai pengaruh yang amat besar walaupun baru sahaja berusia 26 tahun.

Malah, ramai belia turut berbai’ah (bersumpah taat setia) di bawahnya hanya dengan menggunakan Telegram, iaitu sebuah aplikasi sosial yang ‘popular’ dalam kalangan anggota Daesh.

wandy
Muhammad Wandy

Program itu kemudian diteruskan dengan perkongsian maklumat berkaitan isu radikalisme dan ekstremisme oleh Supt. Tuan. Ahmad Norhisham Ma’aruf, Bhgn. Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman.

Norhisham mendedahkan bahawa Daesh juga mempunyai platform media mereka tersendiri yang digunakan untuk menyebarkan propaganda, maklumat dan berita serta melakukan pengrekrutan ahli.

Antaranya adalah Al-Hayat Media Center, Al-Ghuraba Media, Al-Itisam Media, Ansar Al-Sharia Media, Al-Furqan Media dan Shoutussalam Islamic Media.

Program Program Travelog Ilmu Siri 2/2017: Apokalips Radikalisme & Ekstremisme merupakan anjuran IYRES dengan kerjasama Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, KBS dan Biro Pendidikan dan Pembangunan Keluarga PUSPANITA Cawangan KBS.

Ia adalah platform perkongsian ilmu untuk meningkatkan pengetahuan dan berkongsi strategi dalam menangani isu-isu radikalisme dan ekstremisme terutama dalam kalangan belia serta mengenalpasti bentuk dorongan dalaman / luaran yang menyuburkan kegiatan berkenaan melalui perbincangan intelek secara santai.

Turut hadir adalah  Pn. Haslina Abd. Hamid, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik), KBS, YBhg. Dato’ Adnan Hj. Abu Hassan, Pengerusi Lembaga Pengarah IYRES dan YBrs. Dr. Zainah Shariff, Ketua Pegawai Eksekutif IYRES.

 

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button