AntarabangsaPolitikTempatan

Israel Ingin Hapuskan Bahasa Arab

Tidak cukup dengan membina penempatan haram, Israel kini bercadang untuk ‘meluaskan kuasa’ mereka dengan mengubah bahasa rasmi negara itu yang menggunakan bahasa Arab kepada bahasa Ibrani (Hebrew).

Pada hari Rabu (10 Mei 2017), Parlimen Israel yang dikenali sebagai Knesset telah meluluskan bacaan awal terhadap rang undang-undang (RUU) berkontroversi itu yang akan menghapuskan bahasa Arab sebagai bahasa rasmi selain daripada mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu kota Israel.

Bacaan awal tersebut diluluskan setelah mendapat sokongan majoriti dari 48 orang ahli Knesset manakala ia dibantah oleh 41 ahli parlimen itu.

Sesi persidangan itu juga mencetuskan huru-hara, di mana dua orang ahli parlimen Arab, Hanin Zoabi dan Jamal Zahalqa telah di halau keluar daripada dewan tersebut.

Dalam sebuah kenyataan, Knesset mengisytiharkan bahawa undang-undang berkenaan akan merasmikan status Israel sebagai “ibu negara orang Yahudi”, status Jerusalem sebagai ibu kota Israel, dan Hebrew sebagai satu-satunya bahasa rasmi.

Sekiranya undang-undang itu diluluskan, ia akan menghapuskan bahasa Arab yang telah digunakan sejak negara haram itu ditubuhkan pada tahun 1948 lagi.

Kini, RUU tersebut akan dirujuk oleh ahli jawatankuasa undang-undang Knesset sebelum ia tertakluk kepada bacaan pertama di parlimen berkenaan.

Selain daripada warga Palestin, terdapat juga kira-kira 1.4 juta penduduk Arab yang menetap di Israel.

Sumber: Anadolu Agency

Show More

Related Articles

Back to top button