Isu SemasaTempatan

Dasar Kabotaj: Perkara Yang Anda Perlu Tahu

Pernah tak anda tertanya mengapa harga barang di Sabah dan Sarawak berbeza dengan harga barang di Semenanjung?

Ini adalah kerana sebuah dasar yang dikenali sebagai Dasar Kabotaj (Cabotage Policy).

Dasar Kabotaj adalah sebuah dasar perkapalan kargo yang mula diperkenalkan di Malaysia pada tahun 1990 melalui pindaan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Dengan adanya dasar ini, Malaysia mengenakan syarat kepada syarikat perkapalan tempatan dan antarabangsa supaya menghantar segala barangan ke Pelabuhan Klang terlebih dahulu sebelum ia diedarkan ke pelabuhan-pelabuhan lain dengan menggunakan kapal kargo tempatan.

Sistem ini juga tertakluk bagi industri tempatan dalam melaksanakan urusan mengeksport barangan ke luar negara.

Dalam dasar tersebut, hanya kapal yang berdaftar di Malaysia dibenarkan untuk memunggah dan memuatkan kargo di semua pelabuhan dalam negara.

Tetapi, Dasar Kabotaj dibantah oleh ramai pihak kerana harga barang di Sabah dan Sarawak di jual dengan harga yang lebih tinggi berbanding di Semenanjung.

MENGAPA DASAR INI DILAKSANAKAN?

Gambar sekadar hiasan – Sumber: www.wakeupmalaya.com

Memetik laporan Malaysian Digest yang mengadakan temubual bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Unit Perancangan Ekonomi), Datuk Abdul Rahman Dahlan, dasar ini dilaksanakan atas dua sebab utama.

1. Melindungi industri syarikat perkapalan tempatan daripada dimonopoli oleh syarikat mega.

2. Memastikan kewujudan kapal tempatan untuk kegunaan pengedaran pada waktu darurat.

Abdul Rahman berkata, Malaysia terbahagi kepada dua bahagian, iaitu Semenanjung, serta Sabah dan Sarawak.

Sekiranya kapal induk bukan milik syarikat tempatan ketika berlakunya peperangan, syarikat perkapalan boleh mengenakan caj 10 kali ganda lebih banyak daripada harga asal barangan yang dibawa kerana risiko yang terlalu tinggi.

Ujar beliau lagi, dasar kabotaj boleh digunakan untuk membendung perkara itu daripada berlaku.

KINI, DASAR KABOTAJ AKAN DIMANSUHKAN MULAI 1 JUN 2017

Gambar sekadar hiasan – Sumber: www.suarasabah.com

Walau bagaimanapun, mulai 1 Jun 2017, kerajaan akan melaksanakan pengecualian dasar kabotaj bagi aktiviti perkapalan antara Semenanjung Malaysia ke Sabah, Sarawak dan Labuan.

Pengecualian di tiga kawasan membolehkan mana-mana  kapal kargo menghantar barangan tanpa melalui Pelabuhan Klang dan pada masa yang sama dapat mengurangkan kos barangan.

“Maknanya (pengecualian ini adalah) dari mana-mana pelabuhan di Semenanjung  Malaysia ke mana-mana pelabuhan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan dan sebaliknya, di antara pelabuhan dalam negeri Sabah dan pelabuhan negeri  Sarawak,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut beliau, keputusan tersebut diambil berdasarkan cadangan kerajaan negeri Sabah berhubung isu kabotaj, di mana ia adalah faktor kenaikan harga barang di sana.

Namun, pengecualian ini tidak dikuatkuasakan terhadap aktiviti perkapalan yang beroperasi antara Sabah, Sarawak dan Labuan.

ADAKAH PEMANSUHAN INI AKAN MENGUNTUNGKAN LABUAN?

Labuan – Sumber: www.penang-traveltips.com

Selain itu, pengecualian dasar kabotaj ini juga dijangka akan memberi manfaat ekonomi yang besar terhadap Labuan terutamanya kepada pengguna dan pedagang.

Ini disebabkan pulau ini bergantung besar ke atas barangan makanan import sejak berdekad lamanya dari tanah besar Sabah.

Presiden Dewan Usahawan Melayu Sabah, Datuk Seri Mohd Alias Abd Rahman berkata, harga barangan, termasuk bahan pembinaan, ditetapkan oleh pengilang, pemborong dan pengimport dari Sabah.

“Sama ada pemansuhan dasar kabotaj itu, bermula 1 Jun, akan memberi manfaat kepada pulau ini, masih bergantung kepada peniaga dari tanah besar yang menentukan harga barangan,” katanya.

Menurut Alias, harga barangan di Sabah adalah 20% hingga 30% lebih tinggi secara relatif berbanding Semenanjung.

Pada tahun 1980-an, Labuan, sebagai pulau bebas cukai merupakan syurga membeli-belah untuk barangan elektrik jenama terkemuka, pakaian, fabrik, kamera, kasut dan lain-lain yang dijual lebih murah berbanding tempat lain.

Namun, keistimewaan itu tidak dapat dinikmati selepas Labuan tidak lagi menerima penghantaran barangan secara langsung kerana jumlah kargo yang kecil.

Ujar Alias, Labuan Liberty Port hanya meraih manfaat pemansuhan dasar kabotaj jika terdapat jumlah kargo yang besar untuk dihantar ke pulau ini.

Beliau berkata, pengecualian itu turut memberi manfaat jika pedagang dan pengeksport semula di Sabah menurunkan harga barangan memandangkan harga penghantaran kontena atau kargo turun pada kadar yang besar.

 

Sumber: Malaysian Digest, Astro Awani, Berita Harian

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button