AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Emmanuel Macron Kini Presiden Perancis Termuda

Emmanuel Macron, calon presiden bebas berhaluan sederhana telah memenangi Pilihan Raya Presiden Perancis dalam pusingan kedua semalam (7 Mei 2017) apabila menewaskan “Donald Trump Versi Perancis”, Marine Le Pen.

Data rasmi menunjukkan bahawa Macron, 39 tahun, meraih 66% undian manakala Le Pen dari parti National Front hanya memperoleh 34% undian.

Sebelum ini, Macron bekerja sebagai pegawai bank pelaburan dan pernah menjadi Menteri Ekonomi, Industri dan Data Digital di dalam barisan kabinet Presiden Francois Hollande.

Namun, beliau kemudian bantah dan keluar dari parti Sosialis yang dipimpin oleh Hollande dan bertanding dalam pilihan raya presiden sebagai calon bebas.

Kemenangannya ini turut menjadikan beliau sebagai presiden yang termuda dalam sejarah 59 tahun Republik Perancis Kelima.

Selain itu, kekalahan Le Pen turut adalah satu ‘kelegaan’ bagi Kesatuan Eropah (EU) kerana beliau pernah mengancam untuk keluarkan Perancis daripada blok itu seperti yang dilakukan oleh Britain melalui referendum Brexit, sekiranya menang.

Marine Le Pen tewas – Sumber: www.politico.eu

Sama seperti Trump, calon berhaluan kanan berkontroversi itu juga amat membenci imigran dan masyarakat Muslim.

Pakar analisis politik menyatakan bahawa jika kemenangan berpihak kepada Le Pen, ia ibarat satu ‘malapetaka’ dalam arena politik Eropah.

Perjuangan populisme yang dibawa beliau akan merosakkan seluruh institusi demokratik Perancis selain daripada berpotensi untuk mencetuskan perang saudara.

Kekalahan Le Pen juga membuktikan bahawa ‘fenomena populisme’ yang menyebabkan Britain keluar dari EU dan pelantikan Donald Trump sebagai presiden Amerika Syarikat kini semakin hilang di Eropah.

Macron dan penyokongnya – Sumber: www.metro.co.uk

Ekoran kemenangan Macron, beliau berikrar untuk melakukan segala yang termampu dalam tempoh 5 tahun penggal pemerintahannya untuk menyatukan seluruh Perancis.

“Saya akan lakukan segala yang termampu dalam tempoh 5 tahun akan datang untuk memastikan anda tidak akan mempunyai sebab untuk mengundi ekstremisme lagi,” kata beliau di hadapan para penyokongnya.

Rancangan Macron untuk melonggarkan peraturan buruh juga akan menjadikan negara itu lebih berdaya saing di peringkat global sekali gus mengukuhkan lagi hubungan dengan EU.

Sementara itu, beliau dijadualkan untuk menghadiri majlis angkat sumpah pada minggu hadapan di Istana Elysee, namun tarikh sebenar masih belum ditetapkan.

Menurut laporan, majlis dijangka akan berlangsung sebelum penggal perkhidmatan Presiden Francois Hollande pada 14 Mei ini.

Macron juga dijangka akan menghadiri majlis memperingati Hari Kemenangan Perang Dunia Kedua secara rasmi sebagai bakal presiden pada hari ini.

Selepas selesai mengangkat sumpah sebagai presiden pada minggu depan, beliau akan terus memulakan proses pelantikan perdana menteri serta barisan kabinet yang akan mengambil masa beberapa hari.

Sumber: New York Times
Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close