Penjagaan kesihatan yang mencukupi adalah salah satu keperluan asas yang penting dalam kehidupan manusia.
Namun di Amerika Syarikat, penjagaan kesihatan adalah satu keistimewaan dan bukan hak, kerana hanya golongan tertentu sahaja yang mendapat akses terhadap kemudahan itu.
Pada tahun 1944, Presiden Amerika Syarikat ke-32, Franklin Rossevelt telah menggesa Kongres untuk meluluskan “rang undang-undang kedua mengenai hak.”
Antaranya adalah hak penjagaan kesihatan yang mencukupi dan peluang untuk memperoleh dan menikmati kesihatan yang baik.
Tetapi, usaha beliau dan presiden-presiden lain selepasnya tidak berjaya untuk menubuhkan sistem penjagaan kesihatan yang komprehensif untuk rakyat.
Walau bagaimanapun, di bawah pentadbiran presiden Barack Obama, lebih daripada 20 juta rakyat negara itu telah memperoleh perlindungan penjagaan kesihatan menerusi programnya “Obama Care”.
Tetapi di AS, penjagaan kesihatan tidak pernah mendapat status “hak asas”, seperti pendidikan. Menurut puak Republikan di bawah pimpinan Presiden Donald Trump yang sedang memansuhkan Obama Care, insurans kesihatan hanyalah sebuah ‘produk perniagaan’.
Selepas Perang Dunia Kedua (WW2), idea penjagaan kesihatan kebangsaan yang disokong oleh pengganti Roosevelt, Harry Truman berhadapan realiti geopolitik baru.
Kebanyakan rakyat AS menerima insurans penjagaan kesihatan daripada majikan mereka dalam sebuah sistem, di mana pekerja dilindungi menerusi satu penyusunan yang dirunding secara langsung antara majikan dan kesatuan sekerja.
Tetapi, ia tidak mencukupi kerana pasaran kerja tidak melindungi semua orang.
Pada tahun 1965, presiden Lyndon Johnson bertekak dengan Kongres untuk mewujudkan Medicare, insurans kesihatan awam untuk golongan yang berusia 65 tahun ke atas, dan Medicaid untuk golongan miskin dan kurang upaya, terutamanya wanita dan kanak-kanak.
Namun, penjagaan kesihatan masih dilihat sebagai satu ‘keistimewaan’ kerana seseorang hanya boleh menerimanya menerusi beberapa ‘syarat kelayakan’ seperti kemiskinan, umur atau sumbangan.
Tetapi, golongan bujang yang miskin terkecuali dari Medicaid kerana mereka dianggap sebagai golongan yang masih mampu bekerja.
“Ramai rakyat AS yakin dengan tanggungjawab individu,” kata Thomas William O’Rourke, profesor emeritus di Jabatan Kinesiologi dan Kesihatan Masyarakat di University of Illinois.
Ujarnya lagi, penjagaan kesihatan tidak pernah dilabel sebagai satu “hak.”
“Kami pernah berkata bahawa anda akan mendapat penjagaan kesihatan jika anda tergolong dalam segelintir kumpulan,” seperti tentera veteran atau orang asli Amerika.
Pada tahun 1993, presiden Bill Clinton dan isterinya, Hillary melancarkan satu pergerakan untuk melakukan pembaharuan dalam sistem penjagaan kesihatan yang boleh diberi kepada seluruh rakyat.
Namun usaha mereka gagal dengan teruk. Menurut tokoh berhaluan kiri, Bernie Sanders, sistem penjagaan kesihatan di Eropah adalah contoh yang terbaik untuk menyelesaikan masalah ini.
Sumber: The Malay Mail Online