Isu SemasaTempatan

Kandungan WhatsApp Tidak Diintip Oleh MCMC

Baru-baru ini, terdapat sebuah mesej menular di laman sosial yang mendakwa bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memantau kandungan atau perbualan pengguna aplikasi WhatsApp.

Walau bagaimanapun, perkara itu ternyata tidak benar dan telah disahkan sendiri oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak.

Menurut Salleh, MCMC hanyalah sebuah badan yang mengawal selia dan tidak memantau atau mengintip perkara yang dimuatkan oleh pengguna WhatsApp di dalam aplikasi tersebut.

Ujar beliau lagi, kementeriannya hanya memberi nasihat kepada masyarakat umum agar tidak menyalahgunakan media sosial kerana ia adalah kesalahan seperti yang tertakluk di bawah undang-undang negara.

“Sungguhpun kita mempunyai kebebasan untuk bercakap dan menulis, namun kita tidak mempunyai kebebasan untuk memuatkan dakwaan atau khabar angin yang boleh mengancam kestabilan negara dan akhirnya memusnahkannya,” katanya.

Salleh turut menegaskan bahawa pihak berkuasa lain yang akan mengambil tindakan sekiranya sesiapa didapati memuatkan dakwaan dan berita palsu/tidak berasas di dalam media sosial.

Dalam perkembangan lain, Salleh juga menyatakan bahawa rancangan Sarawak untuk menubuhkan agensi komunikasi dan multimedianya sendiri adalah perkembangan yang positif bagi negeri itu untuk terus maju.

Tambah beliau, Sarawak boleh mempercepatkan proses menaik taraf sistem ICT dengan adanya agensi khusus seperti itu.

“Di peringkat pusat, kami sedia memberi kerjasama penuh. Kami mungkin mewujudkan jawatankuasa antara kami dan negeri untuk membantu melancarkan apa yang telah dirancangkan oleh negeri,” katanya.

Sumber: Astro Awani
Show More

Related Articles

Back to top button