Antarabangsa

Diskriminasi Wanita Muslim Berhijab Di Jerman

Wanita Muslim di Jerman yang memakai hijab mengalami pelbagai bentuk diskriminasi, tetapi jarang sekali mereka memfailkan aduan.

Menurut Agensi Anti-Diskriminasi Persekutuan (ADS), wanita berhijab sering mengalami diskriminasi di tempat kerja, studio kecergasan ataupun semasa ingin menyewa tempat tinggal di flat.

“Ramai orang tidak tahu bahawa di Jerman, ia adalah satu larangan untuk mengenakan pengharaman menyeluruh terhadap hijab,” kata ketua ADS, Christine Lueders.

Ujarnya lagi, studio kecergasan atau majikan tidak boleh engenakan larangan sedemikian terhadap mana-mana individu yang memakai simbol agama.

Leuders berkata, ADS menerima lebih daripada 21,000 aduan diskriminasi sejak tahun 2016, tetapi hanya 300 kes sahaja yang dilaporkan oleh wanita memakai hijab.

Wanita berhijab – Sumber: www.dw.com

“Tetapi, statistik ini tidak menggambarkan angka yang sebenar.

“Secara umum, apabila kita bercakap tentang diskriminasi, selalu ada banyak kes yang tidak dilaporkan,” ujarnya.

Menurut Leuders, ia adalah kerana ramai orang ‘bersabar’ dengan diskriminasi atau tidak tahu mana mereka boleh mendapatkan bantuan.

Di Jerman, hak kebebasan beragama dilindungi oleh Perlembagaan negara itu, dan terdapat hampr 4.7 juta penduduk Muslim yang menetap di sana.

Walau bagaimanapun, diskriminasi terhadap wanita Muslim yang menyarungkan hijab semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini ekoran kebangkitan sentimen anti-Muslim yang dicetuskan oleh propaganda parti populis berhaluan kanan yang mengeksploitasi krisis pelarian.

KEPUTUSAN MAHKAMAH KESATUAN EROPAH

Mahkamah EU – Sumber: www.housingeurope.eu

Selain itu, Jerman (tidak seperti Perancis), tidak mempunyai undang-undang ketat yang melarang pemakaian simbol agama di tempat awam.

Namun, keputusan Mahkamah Keadilan Kesatuan Eropah (EU) baru-baru ini membenarkan majikan untuk melarang pekerja mereka untuk memakai mana-mana simbol agama, termasuk hijab.

“Saya mempunyai pandangan yang amat kritikal mengenai keputusan ini dan saya berharap majikan akan mengelak daripada berbuat demikian (mengharamkan pemakaian simbol agama),” kata Leuders.

Beliau turut menegaskan bahawa kelayakan seseorang individu sepatutnya menjadi faktor dalam pemilihan pekerja, bukan penampilan atau fahaman agama mereka.

“NEUTRALITY LAW” (UNDANG-UNDANG BERKECUALI)

Mahkamah Perlembagaan Jerman – Sumber: www.nejtillemu.com

Pegawai-pegawai kanan ADS juga mengkritik beberapa negeri di Jerman, yang masih tidak membenarkan guru wanita Muslim yang memakai hijab untuk mengajar.

Pada tahun 2015, keputusan besar Mahkamah Perlembagaan Jerman mengenakan “larangan umum” di bawah “Neutrality Law” (Undang-undang berkecuali) terhadap guru yang memakai hijab.

Mereka juga memutuskan bahawa larangan itu hanya boleh dikenakan sekiranya hijab seseorang guru itu mencetuskan kontroversi dan mengancam persekitaran aman di sekolah.

Tetapi, negeri-negeri seperti Hamburg, Schleswig-Holstein dan Berlin, masih enggan membenarkan guru untuk memakai hijab dengan sering menggunakan “Neutrality Law” sebagai alasan.

Walaupun segelintir negeri itu melarang pemakaian hijab untuk guru, tiada sebarang undang-undang yang melarang pelajar wanita Muslim daripada memakainya di sekolah menengah atau universiti.

Sumber: Anadolu Agency

Show More

Related Articles

Back to top button