Jika anda cenderung untuk makan coklat, biskut atau kerepek ketika dalam keadaan tertekan, anda tidak keseorangan.
“Kira-kira empat daripada 10 orang makan lebih banyak apabila mereka tertekan,” kata Andre Kleinridders daripada Institut Nutrisi Manusia German.
Mengapa makan banyak apabila tertekan?
Tekanan meletakkan badan dalam keadaan berjaga-jaga. Adrenalin, sejenis hormon tekanan, menyekat selera makan di saat-saat terdapat bahaya serius dan mencetuskan tindak balas ‘fight or flee’ (bertarung atau lari) – “satu sistem yang ada dari zaman dahulu kala yang penting untuk kelangsungan hidup manusia”,tambah Kleinridders.
Namun, semasa tempoh rehat selepas berlakunya tekanan, badan kita akan cuba untuk memulihkan tenaga yang digunakan sepanjang tempoh ‘fight or flee’.
“Sebab itu kita akan mempunyai selera untuk karbohidrat yang mudah dihadam seperti kerepek,” kata Lars Selig, ketua klinik nutrisi di Hospital Universiti Leipzig di Jerman.
Tahap hormon tekanan yang lebih tinggi dari kumpulan glukokortikoid juga dibebaskan semasa keadaan tekanan yang berpanjangan.
Hormon ini boleh meningkatkan selera makan apabila badan tidak benar-benar memerlukan makanan, bermakna tekanan pada tahap kronik merupakan salah satu faktor terjadinya berat badan berlebihan.
Orang ramai boleh menghalang daripada memakan snek ketika stress dengan mengurangkan membeli makanan manis dan berlemak dan tidak mempunyai makanan tersebut di meja mereka.
Menurut Kleinridders, “tekanan meningkatkan perlakuan yang tidak terkawal dan mengurangkan keupayaan seseorang untuk membuat keputusan yang rasional , sehingga sukar untuk menahan nafsu makan,”. Namun begitu, larangan yang dibuat terhadap diri sendiri dari memakan snek apabila menghadapi tekanan kemungkinan tidak akan berjaya.
“Benda yang tidak boleh dimakan adalah yang paling sedap,” menurut Christoph Klotter, seorang profesor psikologi nutrisi di University of Applied Sciences, yang terletak di Fulda.
Adakah memudaratkan, jika seseorang makan hanya satu bar coklat apabila berhadapan dengan tekanan?
Jika bukan selalu, ia bukan satu masalah, kata Klotter.
“Sebagai contoh, merupakan keadaan yang biasa pelajar universiti akan makan lebih banyak manisan daripada biasa ketika berhadapan dengan peperiksaan,” tambahnya lagi.
Namun begitu, jika makanan menjadi penyelesaian utama bagi seseorang untuk menenangkan perasaan yang tidak menyenangkan, keadaan boleh menjadi lebih serius.
“Keadaan paling teruk, ia boleh bertukar menjadi pesta makan yang boleh membuat anda rasa bersalah ,” Klotter memberi amaran.
Bagaimana untuk mencegah aktiviti memakan snek untuk jangka masa panjang?
“Langkah pertama adalah untuk sedar bahawa anda berhadapan dengan tekanan dan mengenalpasti apa yang menyebabkan punca tekanan tersebut,” kata Selig.
Langkah seterusnya adalah untuk memikirkan bagaimana untuk mengatasi tekanan tersebut tanpa perlu memakan sebuah bar coklat atau sebagainya.
“Seseorang yang sentiasa berhadapan dengan tekanan perlu cuba untuk menghapuskan punca tekanan tersebut,” menurut Klotter. Antaranya, berbincang dengan bos anda atau rakan sekerja misalnya. Hal ini boleh menjernihkan keadaan.
Sumber: The Star