Bisnes & EkonomiIsu SemasaTempatan

Bursa Malaysia: Bilangan Pelabur Muda Meningkat

Menurut Bursa Malaysia, jumlah pemegang akaun Sistem Depositari Pusat (CDS) yang berusia 25 tahun ke bawah menyaksikan peningkatan sebanyak 36%. Sejak kebelakangan ini, semakin ramai golongan muda yang aktif melibatkan diri dalam pasaran saham untuk melabur.

Mereka ini juga merupakan golongan yang paling pesat berkembang dalam kalangan pemegang akaun CDS pada tahun lepas, dengan jumlah 27,252 pemegang akaun pada 30 Disember, 2016.

Kumpulan kedua yang berkembang dengan baik adalah pelabur yang berusia 26 dan 35 tahun. Golongan tersebut merangkumi 192,123 akaun CDS secara keseluruhan.

Bursa Malaysia berkata, peningkatan akaun CDS dalam kalangan belia adalah hasil langsung daripada usaha yang disasarkan untuk menarik minat pelabur-pelabur muda menerusi pelbagai program celik kewangan yang diadakan di universiti.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Seri Tajuddin Atan menyatakan bahawa program-program pasaran saham yang dilaksanakan di peringkat universiti bertujuan untuk memastikan golongan milennial mempelajari asas-asas pelaburan pada usia muda.

“Kita juga menubuhkan kelab-kelab pelaburan di universiti. Kita ingin memastikan supaya pelaburan menjadi tabiat mereka, dan untuk ini, kita akan mendekati golongan ini seawal yang boleh,” ujar beliau.

Namun, golongan yang berusia di antara 46 dan 55 tahun (Gen-X), masih kekal sebagai kumpulan pemegang akaun CDS yang terbesar di Malaysia.

Selain itu, peningkatan pelabur yang melabur dalam pasaran saham juga membantu dalam menjana kekayaan untuk rakyat Malaysia.

Walau bagaimanapun, Tajudin menegaskan bahawa masih lagi ramai rakyat di negara ini yang terpedaya dengan penipuan pelaburan serta skim cepat kaya.

“Kita hanya boleh menyelesaikan perkara ini dengan meningkatkan celik kewangan,” ujarnya.

Untuk golongan umur 26 dan 35 tahun, bursa saham menyasarkan kumpulan ini secara langsung kerana mereka mempunyai pendapatan yang boleh digunakan untuk melabur, menurut Tajuddin.

Beliau berkata, kempen untuk menarik golongan muda ke dalam pasaran telah dilakukan untuk memastikan mereka membina mentaliti yang betul mengenai pelaburan.

“Kita juga ingin mereka tahu bahawa mereka tidak memerlukan wang yang banyak untuk memulakan pelaburan,” tambah Tajuddin

Sumber: The Star

 

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button