AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Ancaman Korea Utara: Jepun Mungkin Pinda Perlembagaan

“Perlembagaan Keamanan” (Artikel 9) negara Jepun yang dikarang oleh Amerika Syarikat selepas kekalahan mereka dalam Perang Dunia Kedua (WW2) mungkin akan dipinda.

Perlembagaan yang berkuatkuasa sejak 70 tahun lalu itu menggugurkan hak kedaulatan negara Jepun untuk mencetuskan sebarang peperangan.

Puak nasionalis inginkan dokumen itu dipinda kerana bimbang dengan keadaan semasa, di mana sikap Korea Utara yang agresif mungkin akan menjejaskan keselamatan Jepun.

Golongan konservatif pula selama ini membantah perlembagaan tersebut kerana menganggap ia sebagai satu penghinaan terhadap negara.

Kini, Jepun dikatakan mempunyai “peluang yang cerah” untuk meminda perlembagaan itu berikutan penjajaran politik semasa dan kebimbangan terhadap keselamatan negara yang semakin meningkat.

“Sudah tiba masanya,” kata Perdana Menteri, Shinzo Abe dalam satu ucapan kepada mereka yang menyokong langkah pemindaan itu.

Ujarnya lagi, Jepun akan mengambil langkah bersejarah untuk menyemak semula perlembagaan pada tahun yang amat penting ini.

Walau bagaimanapun, golongan progresif melihat perlembagaan itu sebagai simbol pencinta damai susulan kekalahan Jepun ketika WW2.

Mereka menyifatkan dokumen berkenaan sebagai ‘benteng pertahanan’ untuk menghalang negara itu daripada mencetuskan sebarang peperangan lagi seperti yang telah dilakukan sebelum ini.

Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe – Sumber: www.ndtv.com

Mereka turut memberi amaran bahawa usaha menyemak semula perlembagaan itu berisiko untuk menghapuskan sejarah moden negara berkenaan.

Tetapi, nasionalis menganggap perlembagaan itu sebagai elemen asing, di mana ia dipaksa ke atas Jepun oleh ‘penjajah’ (Amerika Syarikat) dengan mengenakan nilai-nilai Kuasa Barat.

Bagi Nasionalis, tindakan golongan yang mempertahankannya atas dasar ‘keamanan’ adalah sangat merbahaya kerana ia tidak mencerminkan realiti geopolitik, seperti program nuklear dan peluru berpandu Korea Utara.

“Garis kesalahan dalam politik Jepun terletak pada perlembagaannya,” kata Kenneth Ruoff, Profesor Sejarah Moden Jepun di Portland State University, Amerika Syarikat.

Walaupun ia agak mustahil untuk memansuhkan Artikel 9 itu secara menyeluruh, mereka tetap inginkan perubahan dalam isinya, seperti mengiktiraf pasukan pertahanan negara sebagai tentera dan mengesahkan hak Jepun untuk mempertahankan diri.

Golongan pro-pindaan kini boleh mengumpul 2/3 majoriti yang diperlukan dalam kedua-dua dewan parlimen untuk meluluskan pindaan.

Namun, mereka masih perlu melakukan pungutan suara (referendum) di seluruh negara untuk mendapat kelulusan terakhir.

Ruoff berkata, walaupun ini adalah “peluang terbaik” untuk melakukan pemindaan, prosesnya tetap akan menjadi sukar kerana ia memerlukan konsensus.

“Semua orang perlu bersetuju dan ia bukan mudah,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, hasil kajian menunjukkan bahawa mungkin ramai orang masih ‘keliru’ dengan keadaan itu.

Berdasarkan tinjauan pendapat (poll) yang dilakukan oleh agensi penyiaran NHK, hanya 25% responden yang bersetuju untuk meminda perlembagaan manakala 57% lagi membantah.

Tetapi, satu lagi kajian oleh Kyodo News pula mendapati bahawa majoriti 49% bersetuju dan 47% membantah.

Sumber: Arab News

 

 

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button