Isu SemasaTempatan

Penemuan Rangka Purba Bukti Kewujudan Zaman Neolitik

Penemuan terbaru rangka dipercayai milik manusia purba berusia 5,000 hingga 6,000 tahun di tapak pembinaan arkeologi Guar Kepah berkemungkinan seorang wanita berdasarkan keadaan giginya.

Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Dr Mokhtar Saidin berkata ini berdasarkan penelitian awal pihaknya pada rangka yang dijumpai dikebumikan dalam timbunan kerang itu.

Rangka itu ditemukan ketika kontraktor dan pihak PPAG sedang menggali tanah untuk pembinaan galeri arkeologi Guar Kepah dan penemuan berkenaan menyebabkan kerja pembinaan galeri itu dihentikan serta-merta.

Penemuan rangka itu membuktikan wujud manusia prasejarah Neolitik di Semenanjung Malaysia dan pihaknya percaya ia merupakan satu-satunya rangka manusia zaman itu yang dijumpai ditanam mengikut adat masyarakat purba dengan menggunakan tembikar, kulit kerang serta kepah.

Related image

Rangka daripada bahagian pinggul hingga kepala itu ditemukan dalam keadaan sempurna dan ia tertanam dalam timbunan kerang yang dipercayai menjadi budaya masyarakat pada zaman itu. Bahagian kaki pula terkena jengkaut ketika kerja penggalian dijalankan.

Ini satu penemuan penting yang memberikan gambaran bagaimana kehidupan manusia pada zaman itu. Tujuh jenis kulit kerang, rangka babi dan rusa juga turut ditemukan yang mana ia memberitahu tentang diet pemakanan mereka.

Rangka yang dijumpai di kawasan pasir pada aras laut iaitu lapisan budaya paling bawah itu berjaya digali dan dikeluarkan dalam tempoh dua minggu dan dihantar ke USM bagi ujian saintifik dan analisis.

Rangka manusia itu berada di bahagian paling bawah di tapak berkenaan kerana bahagian atas sudah dialihkan ketika ahli arkeologi British menemukan sembilan rangka pada 1860 dan kesemua rangka disimpan di Leiden, Belanda bagi tujuan kajian.

Kerajaan negeri memberikan tapak di Guar Kepah seluas kira-kira satu hektar dan RM830,000 untuk projek pembinaan galeri itu dan ia dijangka siap sepenuhnya pada Oktober tahun ini serta galeri tersebut akan memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat artifak sejarah di kawasan berkenaan.

Guar Kepah, yang lebih tua daripada Lembah Bujang dan Sungai Batu, Kedah satu-satunya lokasi di Semenanjung Malaysia yang menunjukkan bukti penempatan manusia zaman dulu yang dekat dengan kehidupan laut.

Sumber: Thestar

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button