AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Mengapa AS Tidak Boleh Serang Korea Utara?

Sejak kebelakangan ini, Amerika Syarikat (AS), di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump, kerap melakukan provokasi dengan negara-negara lain.

Antaranya adalah serangan peluru berpandu ke atas Syria dan juga menghantar kapal perang USS Carl Vinson yang menyebabkan Korea Utara bersiap sedia untuk memberi serangan balas.

Tetapi, mampukah AS serang Korea Utara seperti yang dilakukan terhadap Syria?

1. Faktor mengapa AS tidak boleh menyerang Korea Utara seperti Syria

Gambar sekadar hiasan – Sumber: http://www.vox.com

Secara teknikal, Semenanjung Korea masih kekal dalam keadaan perang. Pada 27 Julai, 1953, pertempuran dihentikan di bawah satu perjanjian gencatan senjata yang ditandatangani oleh AS dan China.

Jadi, sekiranya AS melancarkan serangan terhadap Korea Utara, ia bermakna AS akan melanggar perjanjian yang telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.

2. Apakah perbezaan di antara Korea Utara dan Syria?

Gambar sekadar hiasan – Sumber: thelibertarianrepublic.com

Syria dipercayai ingin memiliki senjata nuklear, tetapi Korea Utara sudah memiliki nuklear sendiri dan keupayaan senjata mereka menjadi semakin canggih.

Setakat ini, Pyongyang telah melaksanakan 5 ujian nuklear dan mendakwa mereka berjaya “mengecilkan” kepala peledak nuklear.

Tetapi, dakwaan tersebut tidak pernah disahkan oleh mana-mana pihak ketiga yang melakukan pengesahan bebas (Independent verification and validation – IV&V).

Mereka juga pernah mengalami beberapa kegagalan yang memalukan semasa melancarkan peluru berpandu Musudan pada tahun lepas.

Walau bagaimanapun, pakar ketenteraan percaya bahawa Korea Utara “belajar dari kesilapan” dan mungkin mampu membina peluru berpandu balistik antara benua yang boleh sampai ke AS dalam 4 tahun akan datang.

3. Mengapa China perlu berpihak kepada Korea Utara jika diserang oleh AS?

Gambar sekadar hiasan – Sumber: www.youtube.com

China adalah sekutu paling kuat Korea Utara dan pada tahun 1961, kedua-dua negara itu menandatangani Sino-North Korean Mutual Aid and Cooperation Friendship Treaty.

Di bawah perjanjian itu, Korea Utara dan China mempunyai tanggungjawab untuk memberi bantuan ketenteraan dan bantuan lain dengan segera sekiranya diserang oleh pihak luar.

Perjanjian ini telah dilanjutkan sebanyak dua kali dan sah sehingga tahun 2021.

4. Mengapa China menggesa resolusi aman dan membantah tindakan ketenteraan yang dicetuskan oleh AS?

Gambar sekadar hiasan – Sumber: www.hani.co.kr

China amat bimbang jika wilayah sempadannya akan dipenuhi dengan pelarian Korea Utara sekiranya rejim Kim Jong-un musnah.

Dari sudut geopolitik, China melihat Korea Utara sebagai zon penampan yang berpotensi untuk diceroboh oleh kuasa lain seperti AS, Jepun dan Korea Selatan.

5. Selain China, negara mana lagi yang membantah serangan ketenteraan terhadap Pyongyang?

Gambar sekadar hiasan – Sumber: www.economywatch.com

Kedua-dua Korea Selatan dan Jepun lebih suka jika AS mengambil pendekatan bukan melalui operasi ketenteraan atau peperangan.

Jarak Seoul, ibu negara Korea Selatan, hanya 40 kilometer daripada sempadan Korea Utara dan ia amat terdedah kepada serangan rejim itu.

Menurut Sam Gardiner, bekas kolonel Tentera Udara, AS tidak boleh melindungi Seoul, sekurang-kurangnya dalam tempoh 24 jam atau 48 jam pertama peperangan.

Walaupun bekas presiden AS, Bill Clinton secara serius berdebat untuk mengebom reaktor Yongbyon pada tahun 1994, tetapi beliau tidak mengambil tindakan itu selepas dipujuk oleh pegawai pertahanannya.

Pegawai pertahanan Clinton memaklumkan bahawa kebinasaan peperangan bersama Korea Utara akan menjadi lebih besar berbanding mana-mana peperangan yang disaksikan di dunia sejak Perang Korea yang terakhir dahulu.

Sumber: South China Morning Post
Tags
Show More

Related Articles

Back to top button