AntarabangsaPolitik

Bilawal Bhutto: Pemimpin Generasi Baru Pakistan

Bilawal Bhutto Zardari, 28 tahun, kini sedang melonjak naik dalam arena politik di Pakistan. Siapakah pemuda ini

Beliau adalah satu-satunya anak lelaki kepada bekas perdana menteri wanita pertama, Benazir Bhutto, dan juga suaminya Asif Ali Zardari, yang kemudian dilantik untuk menjadi Presiden Pakistan pada tahun 2008.

Ketika pelantikan ibunya sebagai perdana menteri, Bilawal baru sahaja berusia 3 bulan.

Dunia politik adalah satu dunia yang sangat rumit dan penuh dengan cacamerba.  Seseorang yang ingin menyertai ‘gelanggang’ ini harus bersedia dari segala aspek dan mempunyai kepelbagaian keperibadian.

Dalam situasi sosio-politik negara dunia ketiga yang penuh dengan insiden pergolakan dan cabaran masa kini, sangat sukar untuk seseorang pemimpin politik melakukan perubahan demi mewujudkan sebuah negara yang stabil dalam politik dan sosio ekonominya.

Bendera Pakistan

Walaupun mempunyai ibu bapa yang berpengaruh dalam dunia politik, kehidupan Bilawal penuh dengan cabaran dan peristiwa-peristiwa hitam yang amat menyanyat hati

 

Benazir Bhutto, Perdana Menteri Wanita Pertama Pakistan. Dibunuh ketika menjalankan kempen pada tahun 2007 – Sumber: www.voiceofjournalists.com

Datuknya, Zulfiqar Ali Bhutto, yang pernah menyandang jawatan perdana menteri pada suatu ketika dahulu, dihukum bunuh oleh musuh-musuh politiknya atas dakwaan membunuh walaupun mahkamah telah mendapati beliau tidak bersalah, manakala ibunya pula telah ditembak mati ketika sedang berkempen untuk pilihan raya pada tahun 2007.

Tidak cukup itu, malah ayahnya juga pernah dijatuhkan hukuman penjara selama 8 tahun (1996-2004) kerana terlibat dalam salah satu skandal rasuah yang terbesar di negara itu.

Asif Ali Zardari, dipenjarakan dari tahun 1996-2004 dan dilantik menjadi Presiden Pakistan ke-11 pada 2008 – Sumber: www.thenewstribe.com

Apabila pulang semula ke tanah air setelah sekian lama menjalani kehidupan di luar negara, Bilawal berharap untuk menyambung legasi keluarganya dalam memimpin Pakistan ke arah era negara yang keluar dari kemelut kemiskinan yang mencapai tahap negara membangun.

Tetapi, adakah pemuda ini mampu melakukannya? Kira-kira 3 tahun lalu, ayahnya menyatakan bahawa perjalanan politik anaknya baru sahaja bermula.

Bilawal bukan sahaja akan menimba ilmu politik dari kalangan orang-orang yang berpengalaman dan lebih tua, tetapi jua akan mempelajari tentang Pakistan dari rakyat jelata. Masih banyak yang perlu dipelajarinya pada waktu itu, terutama untuk memahami dan bertutur secara fasih dalam bahasa Urdu, iaitu bahasa ibunda Pakistan.

Pakistan People’s Party (PPP) – Sumber: www.baaghi.tv

Walaupun Bilawal dianggap sebagai seorang yang masih mentah, pemuda ini bukan calang-calang orang. Ketika pembunuhan ibunya, beliau mengambil langkah drastik dalam kehidupan apabila menerima pelantikan untuk menjadi pengerusi Pakistan People’s Party (PPP) yang diasaskan oleh arwah datuknya sendiri.

Pada waktu itu, beliau masih bergelar seorang mahasiswa yang menuntut di Oxford University dalam bidang sejarah. Bilawal turut bergiat aktif di dalam persatuan debat dan telah memperoleh ijazahnya pada bulan Jun 2010.

Selepas tamat pengajian, Bilawal kembali semula ke Pakistan pada tahun 2011 dan terus memulakan kariernya sebagai ahli politik yang aktif.

Bilawal berucap ketika ulang tahun kelima pembunuhan ibunya di hadapan ratusan ribu penyokong – Sumber: www.darkroom.baltimoresun.com

Ketika memperingati ulang tahun kelima pembunuhan ibunya (2012), beliau berdiri teguh di atas pentas yang memperlihatkan kawasan pemakaman keluarganya dihadapan ratusan ribu penyokong, di mana beliau telah ‘diangkat’ dan diiktiraf sebagai harapan terakhir menyambung legasi  keluarganya yang disifatkan sebagai dinasti politik yang terunggul di Pakistan.

Adakah anak muda ini akan berjaya membawa negara Pakistan ke arah sebuah negara yang membangun dan stabil dari aspek sosio-politik dan ekonomi? Dan mampukah ia menyatu padukan rakyat jelata yang datang dari pelbagai puak mazhab dan ideologi politik yang berbeza?

Segala matlamat di atas mampu direalisasikan, tetapi melihat kepada keadaan Pakistan yang sentiasa bergolak, ia mungkin akan memakan masa yang panjang dan Bilawal harus bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan biar yang baik mahupun yang buruk.

Seperti datuk dan juga ibunya, beliau sentiasa menjadi sasaran musuh-musuh politiknya dan mestilah berwaspada pada setiap saat dan ketika.

Sumber: thediplomat.com
Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker