AntarabangsaIsu Semasa

‘Peranan’ Baru Jerman Di Pentas Dunia

Rakyat Jerman tidak melihat negara mereka atau Canselor (pemimpin tertinggi) sebagai pemimpin dunia yang berpotensi. Jerman adalah sebuah negara yang mempunyai ekonomi yang paling kukuh dalam seluruh Eropah.

Memetik laporan Los Angeles Times, lebih daripada 80% rakyat Jerman mahu negara mereka kurang menyertai misi-misi ketenteraan dunia.

60% rakyat pula mahu agar negara itu tidak terlibat dengan hal ehwal antarabangsa.

Tetapi, pelantikan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) telah mengubah ‘corak permainan’ dunia.

Dasar luarnya, “America First”, secara terang mengabaikan undang-undang antarabangsa dan menjadikan keadaan dunia semakin tidak menentu.

United Kingdom sebelum ini dikenali sebagai kuasa liberal yang utama, namun keputusannya untuk meninggalkan EU boleh menjejaskan kedudukannya.

Perancis pula sekian lama memainkan peranan ‘bebas’ dalam hal ehwal antarabangsa, tetapi Emmanuel Macron, calon berpotensi untuk menjadi presiden seterusnya dilihat sebagai seorang yang masih ‘mentah’ dalam politik.

Dalam keadaan sebegini, Canselor Jerman, Angela Merkel telah muncul sebagai seorang pemimpin yang memainkan peranan penting dalam menjaga dunia liberalisme.

Kini berkhidmat untuk penggal ketiganya sebagai pemimpin tertinggi Jerman, Merkel adalah satu-satunya individu di pentas antarabangsa yang bersedia dalam menghadapi cabaran terhebat yang melanda negara Barat sejak Perang Dingin.

Memandangkan kempen pilihan raya akan bermula, rakyat Jerman perlu menerima kenyataan bahawa keadaan dunia sudah berubah dan kepimpinan Merkel bukan sahaja penting untuk Jerman, tetapi seluruh negara barat.

Beliau juga mempunyai rekod yang baik dalam mempertahankan matlamat yang mentakrifkan dunia bebas.

“Jerman dan Amerika dihubungkan dengan nilai-nilai demokrasi, kebebasan dan penghormatan terhadap undang-undang dan maruah manusia, asal usul, warna kulit, agama, jantina, orientasi seksual atau pandangan politik.

“Saya menawarkan kerjasama rapat bersama Presiden AS seterusnya (Trump) berteraskan nilai-nilai ini,” kata beliau.

Bercakap tentang isu global, termasuk krisis pendatang dan cubaan Rusia untuk mengubah perintah keselamatan Eropah, Merkel boleh dipercayai untuk membuat keputusan berdasarkan elemen liberalisme.

Namun, Merkel juga perlu mengiktiraf bahawa pilihan raya persekutuan Jerman membawa import global, tanpa ‘menakutkan’ para pengundi memandangkan mereka terlalu ‘taksub’ dengan isu-isu domestik sahaja.

Oleh itu, rakyat Jerman perlu menerima kepimpinan global dan menghentikan kebencian mereka terhadapnya.

Satu tinjauan pendapat BBC terbaru mendapati bahawa Jerman adalah negara yang paling disanjungi di dunia.

Negara-negara jiran yang sebelum ini takut dengan ketenteraan Jerman kini meminta negara itu agar memperluaskan lagi kehadiran tentera untuk menghalang Rusia yang disifatkan sebagai ‘agresif’.

Sumber: Los Angeles Times
Tags
Show More

Related Articles

Back to top button