Isu SemasaTempatan

Berapa Jangkaan Gaji Permulaan Graduan?

Graduan baharu di Malaysia inginkan gaji permulaan yang lebih, iaitu antara RM 2,000 – RM 3,000 bergantung pada kemahiran dan tempat mereka bekerja.

Memetik laporan The Star, para graduan di Ipoh yang ditemubual oleh MetroPerak menyatakan bahawa zaman telah berubah dan gaji permulaan graduan baru perlu berpatutan untuk menampung kos sara hidup semasa.

Audrey Yeap, seorang graduan jurusan komunikasi berkata, beliau mempunyai jangkaan gaji pertama yang berbeza mengikut bandar di mana sesuatu pekerjaan itu ditawarkan.

“Untuk Ipoh, saya rasa sekitar RM2,200 sehingga RM 2,500 sudah bagus. Saya tidak mempunyai jangkaan yang terlalu banyak dari segi manfaat pekerja, tetapi ia adalah satu bonus jika syarikat itu menawarkan manfaat pergigian, medikal dan kerja lebih waktu,” kata graduan berusia 23 tahun itu.

Namun, Yeap mengharapkan gaji permulaan RM 2,800 sekiranya tinggal di Kuala Lumpur kerana perlu menyewa rumah sendiri dan membayar lebih minyak dan tol.

Tambahnya lagi, majikan juga mungkin terlalu memilih dan hanya mengambil individu yang berpengalaman, namun masih menawarkan gaji yang rendah kepada mereka.

Gambar sekadar hiasan – Sumber: http://www.mstar.com.my

Menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot, sebuah kajian komprehensif berhubung gaji permulaan pekerja sedang dijalankan untuk menilai kesan kos sara hidup yang meningkat.

Beliau berkata, kajian itu akan meliputi semua sektor dan melihat apa yang ditawarkan oleh majikan untuk gaji permulaan.

M. Rajini, graduan jurusan Teknologi Maklumat, 22, menyatakan bahawa gaji permulaan RM2,500 boleh dianggap sebagai jumlah yang berpatutan untuk graduan baharu dengan keadaan kos sara hidup pada zaman ini.

Beliau juga bersetuju terdapat segelintir graduan yang akan meminta gaji permulaan tidak realisitik, iaitu RM 3,000  ke atas.

“Apa yang rakan-rakan beritahu saya, segelintir daripada mereka diberi tawaran sebegitu, tetapi hanya selepas mereka lulus beberapa siri ujian yang agak susah.

Rajini juga ingin mendapat tawaran seperti itu, namun beliau tidak mahu menetapkan jangkaan yang terlalu tinggi kerana ia hanya akan mengehadkan pilihan yang ada.

Bagi seorang graduan jurusan Akaun pula, Choo Chien Hui, 23, jangkaan gaji pertama bergantung pada lokasi tempat kerja.

Beliau menjangkakan gaji permulaan sebanyak RM 2,400 di Ipoh dan RM 3,000 jika di Kuala Lumpur.

“Ia adalah satu fakta yang diketahui bahawa kos sara hidup lebih tinggi di Kuala Lumpur, jadi sebab itu saya menjangka gaji permulaan lebih tinggi jika saya bekerja di sana,” kata Choo.

Sumber: The Star
Tags
Show More

Related Articles

Back to top button