AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Trump Berpotensi Cetus Perang Dunia Ketiga?

Donald Trump seorang presiden yang ‘produktif’.  Beliau ‘berjaya’ melaksanakan pelbagai ‘tugas’ dalam tempoh seminggu.

Antaranya adalah menyerang Syria, menghantar kapal perang ke Korea, dan mengugut China dan Rusia.

Hari ini pula, beliau mengarahkan tenteranya menggugurkan ‘Ibu Segala Bom’ (MOAB) di Afghanistan dan membunuh kira-kira 37 orang anggota militan Daesh.

Memetik laporan Malaysian Access, Trump dilihat telah memulakan peperangan di lima penjuru pada skala yang berlainan dengan Rusia, China, Syria, Korea Utara, dan Iran.

SYRIA

Presiden Syria, Bashar Al-Assad

Sebelum ini, Trump sering menentang usaha menumbangkan rejim Bashar al-Assad, namun beliau kemudian menghantar 59 peluru berpandu Tomahawk ke Syria sebagai ‘serangan balas’ terhadap rejim itu kerana menyerang bandar Khan Sheikhoun di Syria menggunakan gas sarin.

Tetapi, Setiausaha Pertahanan AS, ‘Mad Dog’ Mattis menyatakan bahawa hanya 20% daripada serangan itu dilaporkan berkesan.

Kurang tempoh 24 jam, rejim Assad masih mampu untuk melancarkan serangan udara kepada pemberontak.

CHINA

Presiden China, Xi Jinping

Dalam hubungan AS dengan China pula, Trump pernah melemparkan pelbagai tuduhan terhadap China, antaranya adalah memanipulasi mata wang.

Namun, beliau mula ‘berbaik’ dengan China dan menawarkan hubungan perdagangan yang lebih baik sekiranya China mengambil tindakan ke atas Korea Utara.

Tidak sampai 4 minit tawaran itu diterbitkan di laman Twitternya, Trump terus membuat ‘pusingan-U’ dan memberi amaran bahawa AS akan tetap bertindak walaupun China tidak bekerjasama.

Tetapi, China tetap membantu dan persiapkan 150,000 anggota tentera di perbatasannya dengan Korea Utara sebagai tindak balas jika sebarang peperangan berlaku.

KOREA UTARA

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un

Presiden berkontroversi itu juga pernah bercadang untuk berunding dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un untuk memujuknya supaya menghentikan segala program nukelar.

Beliau kemudian tidak berpegang pada rancangannya dan melaksanakan tindakan ketenteraan dengan mengirim kapal perang USS Carl Vinson yang menyebabkan Korea Utara bersiap sedia dengan peluru berpandunya.

RUSIA

Presiden Rusia, Vladimir Putin

Jutawan hartanah itu sebelum ini menyatakan hasratnya untuk memulakan hubungan baik dengan Rusia da membina pakatan AS-Rusia yang baru.

Tetapi, beliau sebaliknya menimbulkan kemarahan Rusia dan presidennya, Vladimir Putin apabila melancarkan serangan peluru berpandu di Syria.

Putin turut mengakui bahawa hubungan AS-Rusia kini semakin parah di bawah pentadbiran Trump.

IRAN

Presiden Iran, Hassan Rouhani

Trump amat ‘konsisten’ dengan pendiriannya terhadap Iran. Ketika berkempen, beliau memberi amaran keras terhadap program nuklear Iran dan mengecam perjanjian Obama-Iran 2015.

Kini, Trump kerap mengecam campur tangan Iran yang menyokong rejim Assad di Syria.

Walau bagaimanapun, beliau tidak melancarkan sebarang tindakan ketenteraan ke Iran kerana langkah itu boleh menjejaskan kewangan AS serta kestabilan politik dunia.

KESIMPULAN

Amerika Syarikat merupakan kuasa dunia yang utama, terutamanya dari aspek ketenteraan.

Segala tindakan yang diambil oleh Donald Trump terhadap negara-negara lain menimbulkan kemarahan dunia dan ia berpotensi untuk mencetuskan perang dunia ketiga, sekiranya beliau benar-benar melampaui batas.

Sumber: Malaysian Access
Show More

Related Articles

Back to top button