Isu SemasaPolitikTempatan

Mengapa Pilihan Raya Kecil Diadakan?

Di Malaysia, pilihan raya terbahagi kepada dua kategori iaitu pilihan raya umum dan juga pilihan raya kecil.

Episod Sistem Pilihan Raya – Toodia Dot My

Pilihan raya umum adalah satu proses demokrasi yang diadakan bagi memilih wakil rakyat di Parlimen dan pembentukan kerajaan setiap 5 tahun sekali, di mana rakyat mempunyai kuasa untuk menjadi penentu kepada kedua-dua perkara tersebut.

Ini berlaku apabila Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan atau terbubar sendiri selepas tempoh 5 tahun itu tamat.

Tetapi, bagaimana pula dengan pilihan raya kecil? Untuk apa ia diadakan?

Episod Sistem Pilihan Raya – Toodia Dot My

Pilihan raya kecil hanya akan dilaksanakan bagi meingisi kekosongan kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya berlaku beberapa perkara luar jangkaan seperti berikut:

  1. Kematian
  2. Perletakan jawatan
  3. Hilang kelayakan
  4. Pembatalan keputusan pilihan raya oleh Mahkamah Pilihan Raya

Jika berlaku mana-mana daripada perkara di atas, maka pilihan raya kecil harus diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh kekosongan itu.

Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il dan Datuk Noriah Kasnon – Sumber: malaysiastylonews.com

Berikutan pemergian Allahyarham Datuk Noriah Kasnon, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komiditi, serta Datuk Wan Mohammad Khair-il Wan Ahmad dalam tragedi nahas helikopter pada tahun lepas, satu pilihan raya kecil (PRK) diadakan secara serentak pada 18 Jun 2016 bagi mencari pengganti mereka untuk Parlimen Kuala Kangsar (P.067) , Perak serta Sungai Besar (P.093), Selangor.

Sesi penamaan calon telah diadakan pada 5 Jun, manakala pengundian awal pula pada 14 Jun.

Untuk PRK 2016 yang itu, kawasan Parlimen Kuala Kangsar mempunyai 32,949 pemilih berdaftar, di mana seramai 32,632 adalah pengundi biasa, 312 orang pengundi awal manakala 5 orang pemilih yang tidak hadir kerana berada di luar negara.

Parlimen Sungai Besar pula mengandungi 42,655 pemilih berdaftar dengan 42,365 pengundi biasa, 286 orang pengundi awal, dan 4 orang pemilih tidak hadir kerana berada di luar negara.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) – Sumber: http://www.sinarharian.com.my

Dalam pada itu, Allahyarham Datuk Noriah telah memenangi kerusi Parlimen Sungai Besar, apabila berjaya menewaskan calon PAS, Mohamed Salleh M Hussin dengan majoriti 399 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 dahulu.

Bagi Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il pula, beliau memenangi kerusi Parlimen Kuala Kangsar setelah mengalahkan Khalil Idham Lim Abdullah dari PAS serta calon parti Bebas, Datuk Kamilia Ibrahim dengan majoriti 1,082 undi.

Pilihan Raya Kecil (PRK) 2016 Kuala Kangsar dan Sungai Besar itu merupakan PRK yang ke-11 selepas berlangsungnya PRU13 pada 5 Mei 2013.

Gambar sekadar hiasan – Sumber: http://www.melvister.com

Berikut adalah sepuluh PRK yang pernah dijalankan sebelum ini:

  1. PRK DUN Kuala Besut, Terengganu (24 Julai 2013)
  2. PRK DUN Sungai Limau, Kedah (4 November 2013)
  3. PRK DUN Kajang, Selangor (23 Mac 2014)
  4. PRK DUN Balingian, Sarawak (29 Mac 2014)
  5. PRK Parlimen Bukit Gelugor, Pulau Pinang (25 Mei 2014)
  6. PRK Parlimen Teluk Intan, Perak (31 Mei 2014)
  7. PRK DUN Pengkalan Kubor, Kelantan (25 September 2014)
  8. PRK DUN Chempaka, Kelantan (22 Mac 2015)
  9. PRK Parlimen Rompin, Pahang (5 Mei 2015)
  10. PRK Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang (7 Mei 2015)

Kedua-dua PRK itu juga dijalankan pada bulan Ramadan dan ia bukanlah kali pertama kerana terdapat juga beberapa PRK sebelum ini yang diadakan pada bulan yang mulia itu.

“Sudah beberapa kali dalam sejarah PRK diadakan pada bulan puasa dan yang terbaharu di Kuala Besut, Terengganu (24 Julai 2013). Bulan puasa adalah bulan untuk memperbanyakkan amalan, jadi harap kurang sedikit keji mengeji kata mengata,” kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah tahun lepas.

Sumber: The Malay Mail Online
Tags
Show More

Related Articles

Back to top button