Isu SemasaPolitik

Kerjaya Ahli Politik: Kepentingan Sokongan Keluarga

Sokongan moral daripada keluarga merupakan antara elemen terpenting untuk kita menghadapi kehidupan yang penuh dengan cacamerba ini.

Tidak kira apa pun yang kita lakukan dalam kehidupan, sokongan mereka inilah yang akan menentukan sama ada kita akan terus maju ke hadapan atau mundur kebelakang.

Di dalam dunia ini, tiada satu pun pekerjaan yang mudah. Setiap pekerjaan pasti ada cabaran dan halangannya tersendiri, di mana kita harus hadapinya dengan penuh sabar dan cekal. Dalam ruangan kali ini, kami memberi fokus terhadap pekerjaan sebagai seorang ahli politik.

Gambar sekadar hiasan – Sumber: dailyrakyat.com

Bekerja sebagai ahli politik mungkin dilihat sebagai satu pekerjaan yang mudah dan menguntungkan. Tetapi, tahukah anda bahawa tanggungjawab seseorang ahli politik itu sangat berat?

Di dalam dunia politik juga, keadaan tidak kekal dan sentiasa berubah – kawan boleh menjadi lawan, lawan pula menjadi kawan.

Ahli politik juga perlu bersedia untuk menghadapi cemuhan dan kritikan sekiranya tersilap langkah dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

KEPENTINGAN SOKONGAN KELUARGA

Bercakap tentang sokongan moral keluarga, kita boleh mengambil contoh keadaan yang dihadapi oleh Datin Mastura Mohd. Yazid, isteri kepada Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il yang kini menjadi calon untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar 2016 yang diadakan pada 18 Jun tahun lepas.

Datin Mastura bersama 4 orang anaknya ketika pengebumian Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il – Sumber:Facebook Suara Perak

Kehilangan seseorang yang tersayang merupakan satu perkara yang amat memedihkan. Walau bagaimanapun, Datin Mastura telah dikurniakan 4 orang anak yang sentiasa memberinya semangat dan sokongan moral demi menjalankan tanggungjawab dalam meneruskan legasi arwah suaminya untuk berjasa kepada rakyat.

Datin Mastura yang berasal dari Negeri Sembilan dikenali sebagai seorang yang berjiwa rakyat dan mudah mesra dengan sesiapa sahaja tanpa membezakan fahaman politik.

“Datin Mastura sering menemani arwah suaminya (Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad) apabila berjumpa dengan rakyat. Apabila sesiapa jatuh sakit, mereka berdua tidak pernah lupa meluangkan masa menjenguk dan memberikan bantuan”, kata Zalihaha Mat Kasa, 69, seorang penduduk dari Kampung Kepala Bendang, memetik laporan Sinar Harian.

Selain itu, pada Pilihanraya Negeri Sarawak Ke-11 yang lepas, Toodia telah mendapat kesempatan untuk mengadakan satu sesi temubual eksklusif bersama Datuk Paduka Hajah Sharifah Mordiah Binti Tuanku Fauzi, seorang bekas Menteri Muda di Sarawak, yang juga ibu kepada calon Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan N7 Samariang, Sharifah Hasidah Syed Aman Ghazali, untuk mengetahui bagaimana beliau memberi sokongan kepada anaknya yang dipilih untuk menjadi wakil rakyat.

Sharifah Mordiah bersama anaknya, Sharifah Hasidah – Sumber: jiwabakti.com.my

Ketika sesi temu bual tersebut, Sharifah Mordiah menceritakan perasaannya ketika pertama kali anaknya dipilih untuk menjadi calon DUN kawasan Samariang pada tahun 2006.

“Waktu itu, memang saya rasa terkejut dan pada masa yang sama, ia satu penghargaan daripada YAB Ketua Menteri, kerana saya tidak menduga bahawa anak saya akan dipilih untuk menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN),” kata beliau.

Menurut Sharifah Mordiah, anaknya bekerja sebagai seorang peguam dan masih tiada pengalaman dalam bidang politik ketika pertama kali dilantik.

Sharifah Mordiah (Tengah) bersama Menteri Pelancongan Dan Perumahan Sarawak, Datuk Amar pada suatu ketika dahulu – Sumber: http://www.jiwabakti.com.my

Tetapi, walaupun tidak mempunyai pengalaman, Sharifah Hasidah mempunyai pengetahuan dan pemahaman yang cukup luas tentang selok belok politik hanya dengan melihat pengalaman ibunya sendiri.

“Memang dia bukan ‘politician’. Dia adalah seorang peguam yang mempunyai ‘advocate-nya’ sendiri. Tetapi, pada masa yang sama, mereka telah faham dengan lebih dekat tentang politik.

“Dia banyak melihat pada pengalaman saya sebagai seorang ‘politician’. Jadi, dia tidak berasa asing apabila dilantik menjadi seorang YB kerana ‘environment’ keluarga kami memang suka dengan masyarakat”, kata Sharifah Mordiah.

Sharifah Hasidah menziarahi saudara mualaf yang menghidapi kanser – Sumber: http://www.wanitapbb.my

Pada masa yang sama, beliau turut memanjatkan rasa syukur terhadap ilahi kerana anaknya dapat menjalankan tugas dengan penuh amanah dan tanggungjawab.

Sharifah Mordiah turut menekankan bahawa sokongan keluarga memainkan peranan penting dalam melahirkan seorang pemimpin yang berjaya.

“Kalau nak jadi pemimpin yang berjaya, keluarga mestilah menjadi tulang belakang. Kalau tidak memang susah,” katanya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button