AntarabangsaIsu Semasa

Filipina: Tentera Tembak Mati Komander Abu Sayyaf

Muamar Askali (Abu Rami), komander utama kumpulan militan Abu Sayyaf (ASG) yang kerap muncul dalam video mereka menuntut wang tebusan dan melakukan pemotongan kepala mangsa culik, telah ditembak mati oleh tentera Filipina dalam sebuah pertemburan di Bohol.

Askali yang lebih dikenali sebagai Abu Rami berada dalam senarai individu yang paling dikehendaki oleh pasukan keselamatan Malaysia dan Filipina.

Kematiannya telah memberi ‘tamparan hebat’ terhadap kumpulan militan itu yang berpangkalan di pulau Jolo.

Lt-Gen Carlito Galvez dari Pasukan Khas Mindanao Barat (Westmincom) berkata: “Kematian Askali memberi impak yang besar. Ia akan dirasai dari aspek kekuatan kumpulan itu di luar Sulu,” katanya.

Tambah Galvez, keupayaan Abu Rami untuk sampai ke Bohol menunjukkan sifat agresifnya.

Dia juga merupakan segelintir daripada anggota ASG yang yang boleh bertutur dalam Bahasa Inggris.

Menurut laporan, Abu Rami serta kumpulannya merancang untuk melancarkan serangan pada hari perayaan Easter di sebuah tempat pelancongan, namun rancangan itu gagal apabila dia serta 4 orang anggota ditembak mati.

Difahamkan, dia mengambil alih jawatan komander daripada bapa mertuanya yang terbunuh pada tahun lalu, dan kemudian bekerjasama dengan keluarga Sawadjan yang terlibat dalam beberapa kes penculikan di kawasan resort di perairan Sabah.

Pada 17 November, 2015, komander militan itu dilihat berada dalam video pemotongan kepala warga Sarawak, Bernard Then, yang diculik dari Ocean King Seafood Restaurant di Sandakan pada bulan Mei tahun yang sama.

Abu Rami juga adalah antara sub-komander Abu Sayyaf yang terakhir untuk terlibat dalam kegiatan menculik pelancong luar untuk meminta wang tebusan.

“Kematian ketua ASG tidak menghentikan kesedihan kami. Kami berdoa, terutamanya dalam musim ini dalam kalendar Kristian, supaya Tuhan merahmatinya,” kata Christopher Then, abang kepada mangsa.

Christopher turut berharap supaya kerajaan akan terus meningkatkan usaha untuk memastikan keselamatan negara.

Menurut salah seorang bekas tebusan, Abu Rami, berusia lewat 20-an, adalah seorang “individu yang keliru”.

“Saya lihat dia sebagai seorang individu yang keliru personalitinya,” kata wartawan Jordan, Baker Atyani yang menjadi tebusan kumpulan ASG pada tahun 2012.

Selain itu, Abu Rami mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas IS yang diketuai oleh Isnilon Hapilon.

Hapilon berhasrat untuk mewujudkan khalifah Asia Tenggara dan berpangkalan di selatan Filipina.

Dia juga merupakan dalang di sebalik beberapa siri penculikan termasuk kes culik dua orang warga Kanada, Norway dan Filipina.

Dua orang rakyat Kanada itu telah dipotong kepala selepas keluarga dan kerajaan mereka gagal membayar wang tebusan.

Sumber: The Star
Show More

Related Articles

Back to top button