AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Thailand: Junta Akan Kawal Selia Agama Buddha

Kerajaan tentera (junta) Thailand berhasrat untuk mewujudkan satu undang-undang baharu bagi mengawal selia agama Buddha berikutan pelbagai kes salah guna kuasa dalam kalangan ahli tertinggi agama itu.

Undang-undang yang masih belum diuar-uarkan secara umum itu akan mengurangkan kuasa Majlis Tertinggi Sangha, sebuah badan induk agama Buddha di Thailand.

Menurut laporan, skandal agama di Thailand bukan satu perkara yang baru. Negara tersebut mempunyai 40,000 tempat ibadat Buddha dan lebih daripada 300,000 orang sami.

Skandal agama yang terlalu kerap berlaku adalah seks, dadah dan juga penyalahgunaan wang.

Namun, antara skandal yang paling berkontroversi adalah kegiatan peggubahan wang haram yang melibatkan bekas ketua biara di kuil Dhammakaya.

Bantahan sami terhadap penahanan bekas ketua mereka itu menunjukkan bahawa pihak berkuasa tempatan mempunyai kuasa yang terhad terhadap para sami.

Menurut sumber kerajaan, undang-undang tersebut akan menubuhkan jawatankuasa baru yang akan menetapkan dasar untuk “menyokong dan melindungi agama Buddha,” walaupun ia tidak akan menyentuh amalan keagamaan.

Ia juga akan memberi para sami yang dipilih oleh Majlis Sangha hanya 3 daripada 27 kerusi dalam jawatankuasa itu.

Kerusi lain akan diberi kepada perdana menteri, ketua polis, beberapa pegawai kanan lain dan juga pakar dalam agama Buddha, ahli universiti-universiti Buddha dan perwakilan kumpulan Buddha yang dipilih oleh perdana menteri.

Walau bagaimanapun, tidak semua orang bersetuju dengan cadangan baharu itu.

Timbalan dekan Mahamakut Buddhist University, Phra Metha Winairos berpandangan bahawa “RUU itu tidak ‘menyokong’, tetapi memaksa sami untuk patuh dan kekal di bawah pentadbiran negara”, dan langkah itu tidak betul.

Ujar beliau lagi, campur tangan kerajaan juga akan merendahkan lagi kedudukan agama.

Tetapi, Pongporn Pramsaneh, ketua pejabat kerajaan yang mengendalikan hal ehwal agama Buddha, menyatakan bahawa “undang-undang itu akan memanfaatkan sami dan bantu menyebarkan Buddhisme”.

Berdasarkan laporan, terdapat petanda yang menunjukkan bahawa pengaruh Majlis Sangha kini semakin lemah.

Tahun lepas, junta menolak calon yang dicadangkan oleh majlis itu untuk menjadi sami tertinggi agama Buddha, iaitu seorang sami yang mempunyai kaitan dengan kuil Dhammakaya dan sedang disiasat oleh polis atas kes penipuan membabitkan kereta-kereta mewah.

Kemudian, parlimen memberi kuasa penuh kepada raja baharu, Maha Vajiralongkorn untuk memilih sendiri ketua sami yang seterusnya.

Menurut Paiboon Nititawan, bekas penasihat junta, sekiranya undang-undang tersebut diluluskan, “masalah seperti Dhammakaya akan dihapuskan.”

“Sami yang berhasrat untuk melanggar undang-undang biara atau mengeksploitasi agama akan ditangkis,” tambah beliau.

Walau bagaimanapun, undang-undang itu masih memerlukan kelulusan dari kabinet dan dewan perundangan serta ditandatangani oleh Raja Vajiralongkorn untuk dikuatkuasakan.

Sumber: Reuters

 

Show More

Related Articles

Back to top button