AntarabangsaIsu Semasa

Malaysia Dan India: 60 Tahun Kegemilangan

Tahun ini menandakan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik di antara Malaysia dan India.

Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, India merupakan salah sebuah negara yang pertama untuk mengiktiraf tanah air kita ketika Malaya meraih kemerdekaan pada tahun 1957.

Sejak penubuhan hubungan diplomatik 6 dekad lalu, Malaysia dan India telah mencapai kejayaan dalam pelbagai aspek iaitu politik, ekonomi, perdagangan, kebudayaan, pendidikan, kesihatan, pelancongan, pertanian, dan pertahanan dan sebagainya.

Pada masa ini, hubungan ekonomi antara kedua-dua negara berada pada tahap pesat dan meningkat empat kali ganda sejak tahun 2003 hingga 2015.

India juga merupakan rakan dagang ke-10 terbesar Malaysia, di mana negara itu menyumbang sebanyak 3.3% atau RM52.65 bilion daripada jumlah dagangan negara.

Pada 30 Mac hingga 4 April baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melakukan rawatan rasmi selama 6 hari ke India.

Lawatan tersebut mendatangkan impak yang positif terhadap Malaysia berikutan sebanyak 31 memorandum persefahaman (MoU) telah dimeterai dengan nilai pelaburan yang dianggarkan sebanyak RM 158.4 bilion.

Terkini, terdapat 2,238 orang pelajar India yang belajar di Malaysia. Tahun lepas pula, seramai 638,578 pelancong India telah datang melawat negara kita.

Memetik laporan Utusan Malaysia, MoU berkenaan melibatkan projek-projek seperti pembinaan pelabuhan, lebuh raya, loji janakuasa tenaga solar, pembangunan bandar pintar dan taman teknologi, pembinaan terminal penggasan semula, pembangunan projek pemprosesan kelapa dan kelapa sawit serta pendidikan tinggi.

Antara projek yang menjadi tumpuan utama adalah pembinaan Taman Teknologi Generasi Keempat di Andhra Pradesh, India.

MoU bagi projek ini ditandatangani oleh MIGHT Technology Nurturing Sdn Bhd dengan Lembaga Pembangunan Ekonomi Andhra Pradesh (APEBD).

Taman tersebut dijangka akan menarik pelaburan swasta sebanyak US$100 juta selain daripada melibatkan 75 perusahaan kecil dan sederhana dan menawarkan 5,500 pekerjaan.

Selain itu, Malaysia dan India juga menandatangani perjanjian perkhidmatan udara bilateral untuk meningkatkan kesalinghubungan udara.

Dari aspek pendidikan, Persatuan Universiti-universiti India (AIU), New Delhi dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) memeterai perjanjian berhubung Pengiktirafan Bersama Kelayakan Pendidikan untuk menggalakkan pelajar menuntut dalam semua kursus yang ditawarkan dalam Malaysia dan India.

India juga menyokong inisiatif Malaysia dalam memperluaskan program tanpa visa bagi warga India yang melawat Malaysia yang berkuatkuasa sehingga 31 Mac, 2018, di bawah Pendaftaran dan Maklumat Perjalanan Elektronik (eNTRI).

Akhir sekali, kedua-dua negara telah bersetuju untuk mengukuhkan dan meneruskan hubungan diplomatik yang sudah lama terjalin ini kepada tahap yang lebih tinggi di masa akan datang.

Sumber: The Star, Utusan, Astro Awani
Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker