AntarabangsaIsu SemasaPolitik

India: Penjara Seumur Hidup Jika Sembelih Lembu

“Lembu bukan seekor haiwan. Ia adalah simbol kehidupan universal,” kata Menteri Undang-Undang Gujarat, Pradipsinh Jadeja.

India adalah sebuah negara yang didiami oleh majoriti penganut agama Hindu.

Oleh itu, penyembelihan lembu adalah satu isu yang amat sensitif dan ia adalah perbuatan terlarang di kebanyakan negeri memandangkan ia adalah haiwan suci.

Baru-baru ini, Dewan Undangan Negeri Gujarat telah mengetatkan lagi undang-undang penyembelihan lembu itu dengan meningkatkan hukuman daripada penjara tujuh tahun kepada penjara seumur hidup.

Pindaan undang-undang itu akan dilaksanakan berikutan desakan beberapa kumpulan politik Hindu yang ingin meningkatkan perlindungan bagi haiwan suci itu.

Selain itu, sesiapa sahaja yang didapati mengangkut lembu untuk disembelih juga akan berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun. Kerajaan tidak akan memberi ‘peluang’ kepada pesalah yang tidak memberi ‘peluang’ kepada lembu.

Walau bagaimanapun, pindaan itu masih memerlukan kelulusan daripada gabenor negeri tersebut sebelum dikuatkuasakan menjadi undang-undang yang sah.

Jutaan golongan minoriti di India, termasuk penganut agama Islam, Kristian dan Hindu berkasta rendah, memakan daging lembu walaupun ia sukar untuk didapati.

Namun, parti Bharatiya Janata (BJP) berhaluan kanan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Narendra Modi, telah berkempen lama untuk memperjuangkan perlindungan lembu.

Ketua Menteri BJP baharu di Uttar Pradesh, Yogi Adityanath, telah mengambil tindakan keras terhadap rumah penyembelihan sejak memegang jawatan itu pada bulan Mac sekali gus menghentikan operasi industri daging di sana.

Terdapat juga segelintir pihak yang menubuhkan skuad “perlindungan lembu”, di mana mereka bertindak sebagai ‘vigilante’ yang memantau di jalan raya untuk memeriksa jika ada lori yang membawa haiwan suci itu.

Sumber: Al-Jazeera

 

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker