Isu SemasaPolitikTempatan

Dewan Rakyat Lulus RUU Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017

Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 telah dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dan diluluskan di peringkat dasar pada hari Isnin.

Kemudian, ia akhirnya diluluskan di Dewan Rakyat pada hari Selasa (4 April 2017) selepas dibacakan kali ketiga di hadapan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Ismail Mohamed Said kira-kira jam 6:15 petang.

Matlamat RUU ini adalah untuk melindungi kanak-kanak daripada sebarang jenayah seksual serta menjaga kebajikan mereka.

Ia terpakai kepada kanak-kanak di bawah usia 18 tahun, selaras dengan Akta Kanak-Kanak 2001.

RUU tersebut turut boleh dipakai dan akan melindungi kanak-kanak pelarian atau berstatus tidak bernegara.

Menurut Azalina,  prosedur dan pemakaian undang-undang adalah sama terhadap semua kanak-kanak sekiranya jenayah itu berlaku kepada mereka ketika berada di Malaysia.

Ujar beliau, RUU berkenaan juga akan menaikkan status kanak-kanak untuk memberi keterangan tanpa sokongan.

Tetapi,  pihak mahkamah masih mempunyai kuasa untuk mempertimbangkan sama ada kanak-kanak yang terlibat boleh memberikan keterangan atau tidak.

“Tiada definisi umur berhemah kanak-kanak, tetapi mahkamah memutuskan usia mentah adalah antara umur 13 tahun ke bawah. Oleh itu umur kanak-kanak bijak adalah dalam lingkungan 14 sehingga 18 tahun, mereka ini boleh memberi keterangan secara bersumpah,” katanya.

Di bawah RUU itu, jika sabit kesalahan, sesiapa sahaja yang menghasilkan, mengarahkan pembuatan atau penghasilan pronografi kanak-kanak akan dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 30 tahun dan menerima tidak kurang enam sebatan.

Bagi individu yang melakukan amang seksual fizikal pula, mereka boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun serta dihukum dengan sebatan.

Amang seksual fizikal termasuk menyentuh mana-mana bahagian badan kanak-kanak, menyuruh mereka (kanak-kanak) menyentuh mana-mana bahagian badan individu itu atau saling melakukan sentuhan badan (body contact) tanpa melakukan persetubuhan.

Individu yang melakukan amang seksual bukan fizikal juga tidak akan terlepas daripada dihukum jika sabit kesalahan.

Antaranya adalah melakukan aktiviti bersifat seksual di hadapan kanak-kanak, mengikuti, memerhati atau menghubungi seseorang kanak-kanak dengan berulang kali atau kerap dalam apa cara sekali pun.

Kesalahan ini boleh membawa kepada hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM 20,000 atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, sesiapa yang tidak memberi maklumat berhubung perlakuan atau niat mana-mana individu yang melakukan kesalahan-kesalahan tersebut juga boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 5,000.

Berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 5,779 kes penderaan seksual kanak-kanak berlaku bagi tempoh 2010 hingga 2015, dengan purata 963 kes setahun.

Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula mencatatkan 2,759 kes rogol, 412 kes sumbang mahram, 1,423 kes mencabul kehormatan dan 422 kes luar tabii, yang melibatkan mangsa di bawah umur 18 tahun sepanjang tempoh 2015 dan 2016.

Sumber: Bernama 
Show More

Related Articles

Back to top button