AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Duterte: “Mahkamah Jenayah Antarabangsa Tidak Boleh Halang Saya”

Presiden Filipina, Rodrigo Duterte menyatakan bahawa beliau tidak takut dengan prospek Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang meletakkan beliau dalam perbicaraan atas kempen perang dadahnya.

Malah, Duterte kekal tegas dengan pendiriannya dan berikrar bahawa usaha itu akan diteruskan dan keadaan akan menjadi “brutal”.

“Saya tidak akan takut dan saya tidak akan dihentikan dengan apa? Mahkamah Jenayah Antarabangsa? Pemecatan? Jika itu adalah sebahagian takdir saya, ia adalah takdir saya untuk pergi,” katanya.

Sejak pelantikannya sebagai presiden pada 30 Jun tahun lalu, lebih daripada 8,000 orang telah terkorban dalam kempen anti-dadah beliau.

1/3 daripada suspek mati dibunuh dalam serbuan dan operasi besar-besaran pihak polis yang mendakwa bahawa mereka melakukannya atas dasar ‘mempertahankan diri’, manakala selebihnya pula dipercayai dibunuh oleh golongan bersenjata yang tidak diketahui.

Menurut kumpulan hak asasi manusia, kebanyakan kematian tersebut adalah pembunuhan pengguna dadah dengan penglibatan polis – sebuah dakwaan yang dinafikan oleh pihak berkuasa.

Namun, seorang pembunuh upahan yang mengaku pernah menjadi anggota ‘skuad pembunuh’ di bawah Duterte semasa memegang jawatan Datuk Bandar Davao, dijangka akan memfailkan kes ke ICC dalam bulan ini atau April.

Difahamkan, pembunuh upahan tersebut menuduh presiden itu telah melakukan jenayah terhadap  kemanusiaan.

Selain itu, terdapat dua orang lagi yang telah membuat keterangan dihadapan Senat Filipina dengan mendakwa bahawa mereka sebahagian daripada ‘skuad pembunuh’ di Davao dan pernah membunuh atas arahan Duterte.

Tetapi, ahli Senat tidak jumpa sebarang bukti berhubung dakwaan pembunuhan di luar undang-undang mahupun skuad pembunuh berkenaan.

Duterte berkata, beliau tidak akan “menyokong pembunuhan penjenayah yang telah ditahan, merayu untuk hidup, atau perkara yang dikenali sebagai pembunuhan di luar undang-undang.”

“Ikut undang-undang dan kita baik-baik sahaja. Hentikan syabu dan tiada siapa akan mati esok,” kata beliau yang turut dikenali sebagai ‘The Punisher’.

‘Syabu’ adalah nama lain bagi methamphetamine kristal yang menyebabkan ketagihan kuat di negara itu, di mana kerajaan menyalahkan dadah tersebut bagi kebanyakan jenayah serius di Filipina.

“Saya lebih rela melihat ribuan atau jutaan penjenayah ‘pergi’ dahulu daripada melihat pasukan keselamatan terbunuh dalam perang anti-narkotik”, tegasnya lagi.

Sumber: Al-Jazeera

 

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close