AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Pakistan Lulus Rang Undang-Undang Hak Perkahwinan Penganut Hindu

Selepas hampir 7 dekad, Pakistan akhirnya meluluskan rang undang-undang (RUU) yang membolehkan golongan minoriti penganut agama Hindu di negara itu untuk mendaftar perkahwinan mereka buat pertama kali sejak ia berpisah daripada India pada tahun 1947.

Untuk pengetahuan anda, Pakistan dianggarkan mempunyai populasi seramai 180 juta penduduk, di mana 8.2 juta daripada jumlah keseluruhan itu adalah penganut Hindu manakala majoriti selebihnya adalah penganut Islam.

Menurut sebuah kenyataan kerajaan, RUU yang ditandatangani oleh Presiden Mamnoon Hussain itu akan “melindungi hak-hak sah dan kepentingan keluarga Hindu”.

Ia juga akan membolehkan penganut Hindu untuk memfailkan penceraian dan berkahwin semula, selain daripada melindungi jaminan kewangan golongan wanita dan kanak-kanak selepas si isteri bercerai dengan suami.

Gambar sekadar hiasan – Sumber: www.thehawk.in

Ketua Majlis Hindu Pakistan, Ramesh Kumar Vankwani menyatakan bahawa undang-undang baharu ini akan menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi oleh komuniti Hindu di Pakistan.

Tambah beliau lagi, diskriminasi dan keganasan terhadap penganut agama minoriti adalah sesuatu perkara yang biasa berlaku di negara itu.

“Undang-undang ini adalah langkah permulaan…Ia akan menghapuskan segala kesukaran untuk pendaftaran perkahwinan Hindu,” katanya.

Perdana Menteri, Nawaz Sharif menjelaskan bahawa kerajaannya sentiasa memberi tumpuan dalam memberikan hak sama rata kepada komuniti minoriti yang menetap di Pakistan.

“Mereka adalah patriotik sama seperti mana-mana komuniti dan oleh itu, ia adalah tanggungjawab kerajaan untuk menyediakan perlindungan sama rata kepada mereka,” ujar beliau.

Ekoran pengakhiran pemerintahan British di Asia Selatan pada tahun 1947, subbenua itu telah dibahagikan kepada khususnya Hindu India dan Pakistan.

Peristiwa itu mencetuskan ketegangan di antara agama yang berleluasa sehingga mengorbankan beribu-ribu nyawa manakala berjuta-juta penduduk yang lain pula kehilangan tempat tinggal.

Sejak itu, rakyat pakistan beragama Hindu juga gagal memperoleh dokumen sah yang diperlukan untuk mendaftar atau membatalkan perkahwinan.

Undang-undang ini adalah yang pertama dikuatkuasakan di seluruh Pakistan kecuali wilayah Sindh kerana ia mempunyai undang-undang tersendiri untuk mengatur perkahwinan penganut Hindu.

Sumber: Asia One News, Times Of India

 

Show More

Related Articles

Back to top button