AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Presiden Trump Enggan Bersalaman Dengan Angela Merkel Di Hadapan Media

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dilihat enggan bersalaman bersama pemimpin Jerman, Angela Merkel dalam pertemuan pertama kali mereka sejak Trump menduduki Rumah Putih.

Berdasarkan laporan, jutawan hartanah itu hanya berjabat tangan bersama Merkel ketika ketibaannya di Rumah Putih, namun Trump kemudian ‘enggan’ berbuat demikian ketika mereka duduk bersebelahan di hadapan media.

Dalam sebuah video, jurukamera meminta kedua-dua pemimpin itu untuk bersalaman untuk sesi penggambaran, dan Merkel bertanya kepada Trump: “Adakah anda mahu berjabat tangan?”

Namun, permintaannya tidak diendah oleh Trump yang hanya kekal berdiam diri.

Tetapi, seorang jurucakap Trump menafikan dakwaan bahawa presiden itu enggan tidak mahu bersalaman denga Merkel.

“Saya rasa beliau (Trump) tidak mendengar soalan yang ditanya oleh Merkel,” kata jurucakapnya, Sean Spicer.

Donald Trump bersalaman bersama Angela Merkel pada ketibaannya di Rumah Putih – Sumber: www.politico.com

Walaupun keadaan tersebut dilihat ‘tegang’, kedua-dua pemimpin menyifatkan pertemuan mereka sebagai satu pertemuan yang amat baik.

Difahamkan, pertemuan berkenaan adalah untuk menentukan masa depan pakatan transtlantik dan membentuk hubungan kerja di antara dua pemimpin itu.

Menurut seorang pegawai, Merkel telah membuat persediaan rapi untuk pertemuan itu dengan melihat ucapan-ucapan Trump, bercakap bersama orang-orang yang mengenalinya, dan juga mengkaji temubual Playboy bersama beliau yang diadakan pada tahun 1990.

Hasil daripada pertemuan itu, kedua-dua pemimpin bersetuju tentang keperluan untuk bekerjasama menentang pengganas IS di Syria, Iraq dan Libya, serta membantu proses kedamaian di Ukraine.

Merkel turut menegaskan kepada Trump kepentingan untuk memperbaiki hubungan AS bersama Rusia sambil mempertahankan globalisasi, di mana beliau berharap agar AS dan Kesatuan Eropah (EU) dapat menyambungkan perbincangan berhubung perjanjian perdagangan.

Trump pula akan meminta sokongan Merkel terhadap permintaannya yang menginginkan supaya negara-negara di bawah Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) membayar bahagian mereka untuk keperluan pertahanan masing-masing.

Sebelum ini, Merkel mempunyai hubungan yang rapat bersama bekas Presiden AS Barack Obama dan George W Bush.

Walaupun terdapat perbezaan ketara dalam dasar-dasar utama dan kekurangan kepercayaan terhadap Trump, beliau tetap akan membina hubungan kerja yang kukuh bersama ahli Republikan itu.

Ketika berkempen tahun lepas, Trump kerap mengkritik cancellor itu dengan menuduh beliau “merosakkan” Jerman kerana membenarkan ramai pelarian dari Syria memasuki negara itu.

“Beliau (Merkel) patut malu dengan diri sendiri,” kata Trump di dalam kempennya.

Trump juga mengecam Time Magazine apabila syarikat majalah itu tidak menamakan beliau sebagai Person of the Year pada tahun 2015, tetapi sebaliknya memilih Merkel.

Selain itu, Merkel mengecam rancangan Trump untuk membina tembok sempadan Mexico serta perintah eksekutifnya yang melarang rakyat daripada 7 buah negara Islam untuk memasuki AS.

Sumber: Telegraph UK

 

Show More

Related Articles

Back to top button