AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Maghribi: Raja Pecat Perdana Menteri Kerana Gagal Tubuhkan Kerajaan Selepas 5 Bulan Menang Pilihan Raya

Raja Maghribi, Raja Mohammed VI telah memecat perdana menteri, Abdelilah Benkirane daripada Parti Islam, Parti Keadilan dan Pembangunan (PJD) kerana beliau masih gagal menubuhkan kerajaan baharu walaupun telah menang dalam pilihan raya 5 bulan lepas (Oktober).

Berikutan itu, baginda melantik bekas Menteri Luar yang juga dari parti PJD, Saad Eddine El Othmani untuk mengambil alih jawatan Benkirane sebagai perdana menteri dan mengarahkan beliau supaya menubuhkan kerajaan dengan segera.

Menurut kenyataan pihak Istana, Baginda memutuskan untuk memecat Benkirane pada Rabu lepas apabila tiada sebarang petanda yang menunjukkan akan berlakunya pembentukan kerajaan selain kebimbangan baginda untuk mengatasi halangan semasa dalam rundingan politik.

874461-954633363
Raja Maghribi, Raja Mohammed VI bersama Saad Eddine El Othmani – Sumber: www.arabnews.com

Walaupun PJD menang dalam pilihan raya lepas, mereka tidak meraih undi yang cukup untuk memerintah secara solo dan perlu menubuhkan kerajaan campuran bersama parti-parti lain.

Di Maghribi, Raja Mohammed VI mempunyai kuasa lebih besar daripada kerajaan, tetapi baginda jarang sekali masuk campur dalam hal ehwal politik negara itu.

Keputusannya untuk memecat Benkirane sebagai perdana menteri memberi kejutan besar terhadap rakyat seluruh negara.

Di bawah undang-undang pilihan raya Maghribi, tiada parti yang boleh memenangi majoriti secara menyeluruh dalam parlimen yang mempunyai 395 kerusi itu.

Oleh itu, ia adalah satu keperluan untuk menubuhkan kerajaan campuran di dalam sistem berkenaan, di mana raja masih memegang kuasa mutlak.

Walau bagaimanapun, PJD di bawah pimpinan Benkirane gagal menubuhkan kerajaan walaupun telah berunding selama 5 bulan – iaitu tempoh yang terpanjang dalam sejarah, Maghribi tidak memiliki kerajaan.

Benkirane bercadang untuk menubuhkan kerajaan yang terdiri daripada beberapa parti termasuk parti Islam lain, Liberal dan juga bekas Komunis.

Namun, ketua Parti Rali Negara Bebas (RNI), Aziz Akhannouch yang dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan raja, membantah cadangan tersebut sekali gus menyebabkan berlakunya kebuntuan politik.

Walau bagaimanapun, parti PJD dalam sebuah kenyataan masih menyokong Benkirane dan tidak menyalahkan beliau atas apa yang telah berlaku.

“Beliau tidak bertanggungjawab, dalam apa cara sekalipun, terhadap kelewatan dalam menubuhkan kerajaan,” katanya.

Tetapi, ketiadaan kerajaan boleh menjejaskan ekonomi Maghribi dan reputasi negara itu dari aspek kestabilan politik.

Sumber: Arab News, Al-Jazeera

 

 

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker