AntarabangsaIsu Semasa

Kumpulan Penggodam Korea Utara Dalang Serangan Siber Di 31 Negara

Baru-baru ini, syarikat keselamatan siber, Symantec Corp mendedahkan bahawa sebuah kumpulan penggodam Korea Utara yang dikenali sebagai Lazarus dipercayai menjadi dalang disebalik kempen serangan siber terbaru yang menyasarkan organisasi di 31 negara seluruh dunia.

Difahamkan, kumpulan itu terlibat dalam serangan berprofil-tinggi yang dilakukan terhadap Bank Negara Bangladesh, syarikat Sony dan Korea Selatan.

Symantec mempunyai salah sebuah kumpulan penyelidik malware yang terbesar di dunia, di mana mereka aktif menganalisis ancaman siber untuk membantu dan melindungi perniagaan, kerajaan dan pengguna yang menggunakan produk keselamatannya.

Menerusi satu blog, Symantec menyatakan para penyelidik telah menemui empat bukti digital yang menunjukkan bahawa kumpulan Lazarus bertanggungjawab dalam kempen yang bertujuan untuk ‘menjangkiti’ mangsa-mangsa mereka dengan menggunakan perisian “loader”.

Difahamkan, loader tersebut digunakan untuk melaksanakan serangan dengan meletakkan program-program ‘berbisa’ yang lain.

“Kami agak pasti bahawa Lazarus bertanggungjawab,” kata penyelidik Symantec, Eric Chien dalam satu temubual.

0_0_480_1_70_-news-north-korea-cyber
Gambar sekadar hiasan – Sumber: www.itnews.com.au

Walau bagaimanapun, kerajaan Korea Utara menafikan segala dakwaan penglibatan mereka dalam kegiatan menggodam itu.

Memetik laporan Reuters, dakwaan tersebut dilakukan oleh Amerika Syarikat, Korea Selatan dan juga syarikat-syarikat keselamatan.

Symantec tidak mengenal pasti organisasi-organisasi yang menjadi sasaran dan syarikat itu juga tidak tahu sama ada ia membabitkan kecurian wang atau pun tidak.

Tetapi, mereka menegaskan bahawa ia adalah dakwaan signifikan memandangkan kumpulan penggodam itu menggunakan pendekatan sasaran yang lebih canggih berbanding dalam kempen sebelum ini.

Sebelum ini, Lazarus dikatakan menjadi dalang di sebalik beberapa siri penggodaman sejak beberapa tahun lalu, termasuk rompakan di Bank Negara Bangladesh yang mencatat kerugian sebanyak AS$ 81 juta.

Mereka juga dikatakan terlibat dalam penggodaman Sony Pictures Entertainment sehingga melumpuhkan rangkaian syarikat itu selama berminggu-minggu dan kempen berpanjangan untuk menentang Korea Selatan.

Menurut Symantec, kumpulan itu melancarkan kempen terbaru dengan menjangkiti laman web yang cenderung untuk dilayari oleh mangsa mereka.

Serangan itu dikenali sebagai “watering hole”, dan ia telah diprogramkan untuk hanya menjangkiti pengguna internet yang menggunakan alamat IP daripada 104 organisasi tertentu di 31 buah negara.

 

Sumber: Reuters

 

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker