AntarabangsaIsu SemasaPolitik

India: Parti BJP Menang Majoriti Besar Dalam Pilihan Raya Negeri

Parti Bharatiya Janata (BJP) yang diterajui oleh Perdana Menteri India, Narendra Modi mencatat kemenangan besar dalam pilihan raya negeri di sana.

Kemenangan ini merupakan petanda besar bahawa keyakinan rakyat terhadap pentadbiran beliau berada pada tahap yang sangat kukuh.

Menurut laporan, BJP meraih kejayaan di empat negeri termasuk Uttar Pradesh di utara India, di mana lebih 220 juta orang rakyat menetap di negeri itu dan ia juga dianggap sebagai petunjuk utama politik negara.

Berdasarkan Laman web Suruhanjaya Pilihan Raya India, BJP berjaya menguasai 310 daripada 403 kerusi parlimen yang dipertandingkan di Uttar Pradesh.

Untuk membentuk kerajaan, sesebuah parti hanya perlu memenangi 202 kerusi minimum.

BJP sudah dijangka akan menunjukkan prestasi yang baik di Uttar Pradesh, namun segelintir pakar juga telah meramalkan kemenangan itu sebagai penentu populariti Modi selepas tindakan berkontroversi kerajaan untuk melarang penggunaan wang kertas bernilai tinggi.

Ketua parti, Amit Shah berkata, BJP akan membentuk kerajaan di negeri yang lebih kecil di Goa, Uttarakhan dan Manipur sambil menggelarnya peristiwa itu sebagai “mandat bersejarah” untuk parti.

“Keputusan ini akan meletakkan politik India dalam hala tuju yang baru. Kasta, politik dinasti dan polarisasi telah hilang dan rakyat sudah menerima politik berlandaskan prestasi,” katanya.

Dalam pada itu, Modi turut meluahkan perasaan gembiranya di laman Twitter terhadap “sokongan yang tidak dijangka” yang diberikan kepadanya oleh setiap lapisan masyarakat, terutamanya golongan muda.

“Sokongan daripada belia sangat menggembirakan,” ujar beliau.

Dalam ucapan kemenangannya baru-baru ini, beliau menyatakan bahawa ini adalah mandat yang diberikan oleh golongan miskin kepada BJP untuk terus menerima peluang yang ditawarkan oleh parti tersebut.

“Golongan miskin berkata – saya inginkan kemajuan dan saya mencari peluang itu daripada anda (BJP). Ini adalah asas kepada India yang baru, ini adalah kepercayaan baru India,” kata Modi.

Malah, beliau turut melancarkan kempen #IAmNewIndia, sebuah program pembangunan negara di aplikasi NaMo, iaitu “ikrar untuk membina India baru.”

NaMo (nama singkatan kepada Narendra Modi) adalah sebuah aplikasi telefon pintar yang membolehkan rakyat untuk mengikuti perkembangan semasa dan aktiviti seharian perdana menteri.

Sejak memenangi pilihan raya umum pada tahun 2014, Modi berikrar untuk membanteras gejala rasuah dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.

Sumber: The Star, India Times
Tags
Show More

Related Articles

Back to top button