AntarabangsaIsu Semasa

China: Populasi Penduduk Dijangka Meningkat Kepada 1.45 Bilion Menjelang Tahun 2030

Dasar dua-anak di China menunjukkan “hasil yang memberangsangkan”, di mana kadar kesuburan dijangka akan meningkat menjelang tahun 2020, kata Wang Peian, Naib Menteri Suruhanjaya Kesihatan dan Perancangan Keluarga negara itu.

Menurut Wang, sebanyak 18.46 juta kelahiran dicatatkan pada tahun lepas dan angka tersebut adalah dua juta lebih banyak daripada purata kelahiran pada 5 tahun lepas.

Jumlah keseluruhan kadar kesuburan juga meningkat kepada 1.7 kanak-kanak bagi dari setiap wanita berbanding hanya 1.5 hingga 1.6 di antara tahun 2000 dan 2015.

Pada tahun 1970-an, China telah memperkenalkan sebuah dasar berkontroversi yang dikenali sebagai “dasar satu-anak” untuk mengehadkan pertumbuhan populasi di negara tersebut selain daripada mengurangkan masalah sosial, ekonomi, dan alam sekitar.

china-baby-policy_650x400_41446117250
Gambar sekadar hiasan – Sumber: www.ndtv.com

Dasar itu, yang turut dikenali sebagai “dasar perancangan keluarga”, menetapkan peraturan bahawa setiap keluarga hanya boleh memiliki seorang anak sahaja.

Walau bagaimanapun, pihak berkuasa kini bimbang kerana tenaga kerja yang semakin berkurangan tidak mampu untuk menanggung populasi warga tua yang semakin meningkat.

Pada tahun 2016, kerajaan China mula membenarkan setiap pasangan suami isteri untuk memiliki dua orang anak bagi menangani isu yang membimbangkan itu.

Wang berkata, usaha ini akan diteruskan sehingga tahun 2020, di mana bilangan bayi yang dijangka akan dilahirkan dalam setahun adalah dalam lingkungan 17 juta dan 19 juta.

“Kami sangat optimistik,” ujar beliau lagi.

Dalam pada itu, China juga merupakan salah sebuah negara yang mempunyai kadar kelahiran yang terendah di dunia walaupun negara itu mempunyai populasi mencecah 1 bilion penduduk.

Pada tahun 2015, populasi negara itu mencatat 1.375 bilion dan ia dijangka akan meningkat kepada 1.45 bilion penduduk pada tahun 2030.

Menteri Kewangan, Xiao Jie turut menyatakan bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan potongan cukai untuk keluarga yang mempunyai dua anak.

Sumber: Reuters

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button