AntarabangsaPolitik

Kazakhstan: Parlimen Lulus Pindaan Perlembagaan Kurangkan Kuasa Presiden

Hari ini, parlimen Kazakhstan meluluskan satu pakej pindaan terhadap perlembagaan untuk mengurangkan kuasa presiden, di mana langkah tersebut akan membawa manfaat kepada ahli parlimen dan juga kabinet.

Pindaan tersebut juga disifatkan sebagai satu langkah boleh membantu dalam proses peralihan kuasa dalam politik di negara itu.

Memetik laporan Reuters, Presiden Nursultan Nazarbayev telah bersetuju dengan perubahan itu dan ia akan menjadi undang-undang rasmi selepas beliau menandatangani pindaan berkenaan yang diluluskan oleh parlimen dalam sesi bacaan kedua dan terakhir.

Sebagai sebuah negara yang mengeksport minyak dan besi, Kazakhstan merupakan satu-satunya bekas republik Soviet yang masih ditadbir oleh pemimpin komunis era itu.

Kini berusia 76 tahun, Nazarbayev masih belum dapat mencari pengganti untuk jawatan tersebut, dan keadaan yang tidak menentu itu membimbangkan para pelabur.

Pengurangan beberapa kuasa presiden boleh memudahkan golongan elit politik untuk mengendalikan proses mencari pengganti dengan membahagikan peranan utama di antara individu-individu yang berbeza berbanding hanya membenarkan seorang pengganti untuk memegang kuasa sepenuhnya.

Walau bagaimanapun, perubahan perlembagaan tersebut tidak akan mengubah kedudukan Nazarbayev sebagai seorang pemimpin yang berkuasa buat waktu ini.

Beliau berkata, pembaharuan perlembagaan yang dicadangkan itu akan membolehkan parlimen untuk menubuhkan kabinet dan mereka akan memiliki kuasa yang lebih untuk mengendalikan ekonomi.

Di bawah perlembagaan semasa, semua ahli kabinet dilantik oleh Nazarbayev sendiri. Partinya, Nur Otan juga mendominasi parlimen yang tidak mempunyai parti pembangkang yang serius.

Berikutan pembaharuan itu, presiden akan memberi tumpuan terhadap perkara-perkara strategik, dasar luar dan keselamatan negara.

Ujar Nazarbayev, pemimpin negara itu juga akan memainkan peranan sebagai ‘orang tengah’ di antara cabang-cabang kuasa yang sedia ada.

Sumber: Reuters

 

Show More

Related Articles

Back to top button