Isu SemasaTempatan

Hubungan Arab Saudi Dan Malaysia Berada Pada Tahap Terbaik Sejak 1961

Berikutan lawatan sulung Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud selama 4 hari ke Malaysia, hubungan kedua-dua negara itu kini berada di peringkat yang terbaik sejak lebih 5 dekad lalu dan juga disifatkan sebagai satu era baharu dalam hubungan.

Mengikut sejarah, Arab Saudi dan Malaysia telah membuka kedutaan masing-masing di Kuala Kumpur dan Jeddah sejak pertengahan tahun 1961 lagi.

Negara itu juga merupakan rakan perdagangan kedua terbesar Malaysia di Timur Tengah, di mana dangangan antara kedua-dua negara telah meningkat sebanyak 19.8% pada tahun lepas dan kini berjumlah RM13.12 bilion.

Memetik laporan Berita Harian, hampir 60% daripada jumlah eksport keseluruhan Malaysia ke Arab Saudi terdiri daripada produk berkaitan minyak sawit dan pertanian berasaskan kelapa sawit, jentera, kelengkapan dan alat ganti, makanan siap diproses serta termasuk elektrik dan elektronik.

Menurut Ketua Misi Kebudayaan di Kedutaan Diraja Arab Saudi di Malaysia, Dr Zayed Al- Harithi, lawatan oleh Raja Salman, yang juga Penjaga Dua Masjid Suci itu merupakan petanda hasrat baginda untuk meningkatkan lagi hubungan kukuh di antara Arab Saudi yang Malaysia yang sudah lama terjalin.

“Kita sekarang menaruh harapan untuk mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara terutama dalam bidang pendidikan dan penyelidikan saintifik,” katanya.

Dari aspek ketenteraan pula, tentera Malaysia juga telah menyertai gabungan yang diketuai oleh Arab Saudi dalam latihan ketenteraan bersama “North Thunder” dan juga untuk memulihkan kestabilan dan keamanan di negara Yaman.

Kerjasama untuk membendung penyelewengan agama yang membawa kepada kegiatan keganasan dan ajaran sesat turut menjadi keutamaan kedua-dua negara.

Selain itu, Raja Salman menekankan bahawa Malaysia perlu dibangunkan dengan berlandaskan prinsip-prinsip Islam dan menjaga Wasatiyyah dalam berdakwah.

Titah baginda lagi, cara Islam yang penuh dengan perdamaian dan kasih sayang perlu diamalkan dalam kehidupan seharian rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Sumber: Arab News, Berita Harian

 

 

 

 

 

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker