AntarabangsaIsu Semasa

Syarikat ‘Konsultan’ Tawar ‘Perkhidmatan’ Tukar Identiti

Sebuah firma di Vancouver, Kanada bernama Amicus International Consulting didapati menyediakan perkhidmatan memberi ‘identiti baru’ kepada sesiapa yang memerlukannya.

Selain daripada menyediakan kerakyatan dan pasport baru, mereka juga boleh mencipta sejarah hidup dan latar belakang diri baru untuk para pelanggan.

Menurut Amicus, mereka mewujudkan akaun/profil online untuk para pelanggannya di semua laman media sosial utama dan turut mengajar mereka bagaimana untuk ‘menyesuaikan diri dengan identiti baru – sebagai contoh, cara untuk bercakap menggunakan loghat palsu tanpa menimbulkan syak wasangka.

capture-2
Syarikat Amiscus International Consulting – Sumber: www.scmp.com

Dalam pada itu, antara perkhidmatan ‘lain’ yang disediakan termasuk mengatur pemindahan antarabangsa bagi banduan yang dipenjarakan di luar negara.

Tetapi persoalannya, siapa yang memerlukan perkhidmatan sebegini?

Menjaga rahsia pelanggan merupakan keutamaan syarikat itu. Namun dalam sebuah kajian kes yang disenaraikan dalam laman web rasminya, Amicus menyatakan bahawa dua orang warga China yang juga pengurus Bank of China (BOC) yang terlibat dalam insiden kecurian wang dari bank tersebut pernah menjadi pelanggan mereka.

Difahamkan, kedua-dua ‘penipu’ tersebut mencuri lebih daripada AS$485 juta yang digubah secara haram menerusi pasaran hartanah Vancouver dan kasino Las Vegas di antara tahun 1991 dan 2004.

Pada tahun 2009, Kuang Wan Fang dan Yu Ying Yi, isteri kepada dua orang dalang utama disebalik kecurian itu, dijatuhkan hukuman penjara selama 8 tahun setiap orang oleh mahkamah persekutuan di Nevada, Amerika Syarikat (AS).

Suami mereka pula dipenjarakan lebih daripada 20 tahun di AS juga, dan masih kekal di sana sehingga ke hari ini.

Walau bagaimanapun, apa yang dibimbangkan oleh Kuang dan Yu adalah jika mereka dihantar pulang semula ke China dan menghadapi hukuman mati.

16880382_1791783281143652_519490284_o
Kuang Wan Fang (kiri) dan Yu Ying Yi (kanan), isteri kepada dua pengurus BOC – Sumber: www.scmp.com

Dalam kes ini, Amicus telah membantu kedua-dua wanita itu untuk mendapatkan kerakyatan Sepanyol, walaupun mereka dipenjarakan di AS – dan kemudian membuat pengaturan agar mereka dihantar ke Sepanyol di bawah perjanjian pemindahan banduan pada tahun 2011.

“Kami membina jalan penyelesaian untuk pelanggan yang berada dalam keadaan yang unik dan mencabar,” kata syarikat itu di laman webnya.

Namun, nasib tetap tidak menyebelahi Kuang walaupun pelbagai usaha bantuan dilakukan oleh Amicus. Pada 24 September dua tahun lalu, dia di bawa ke China dengan sebuah jet Gulfstream lalu diserahkan kepada pihak polis negara itu.

Menurut portal South China Morning Post, Amicus tidak memberi sebarang maklum balas kepada permintaan portal itu untuk mengadakan sebuah sesi temubual berhubung perkhidmatan yang disediakan.

Lebih mengejutkan lagi, tiada sebarang syarikat bernama “Amicus International Consulting” yang berdaftar dengan British Columbia, walaupun ia mungkin didaftarkan di luar wilayah itu atau ia wujud sebagai syarikat bernombor (kebanyakannya di Kanada).

Lokasi firma itu juga tidak dapat dikesan di alamat yang tertera di laman web mereka.

Sumber: South China Morning Post
Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker